Solari puas hati debut Kunimoto

Kunimoto (kiri) cuba melepasi kawalan pertahanan Kelantan FC pada Sabtu. - Foto: FB Johor Southern Tigers
Kunimoto (kiri) cuba melepasi kawalan pertahanan Kelantan FC pada Sabtu. - Foto: FB Johor Southern Tigers
A
A
A

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari berpuas hati dengan debut pemain import baharu,Takahiro Kunimoto ketika membenam cabaran Kelantan FC, 10-0 (agregat 15-1) pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.

Menurutnya, selain mempamerkan aksi mantap, pemain kelahiran Jepun berusia 25 tahun itu turut meledak dua gol bagi membantu juara bertahan itu melakar kemenangan penuh bergaya ke saingan suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Bagaimanapun, katanya, Kunimoto masih memerlukan masa selain minit permainan bagi memantapkan lagi aksi selepas ini.

"Bagi saya dia seorang pemain yang baik dan pantas menyesuaikan diri dengan corak taktikal pasukan, walaupun tidak beraksi bagi tempoh 90 minit permainan.

“Dia juga bijak mencari ruang kosong, bertindak pantas selain mampu melakukan hantaran berbahaya selain melakukan bantuan gol kepada rakan sepasukan seperti yang dilakukannya terhadap Bergson (Da Silva) pada perlawanan ini," ujarnya.

Untuk rekod, JDT menewaskan Kelantan FC 5-1, di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, 4 Ogos lalu.

Dalam pada itu, Solari nyata berpuas hati dengan prestasi keseluruhan yang dipamerkan kesebelasan skuad Harimau Selatan itu ketika membelasah Kelantan FC, 10-0 (agregat 15-1) pada aksi kedua pusingan 16, Piala Malaysia pada Sabtu.

Malah pengendali kelahiran Argentina itu turut berbangga apabila hasil rombakan yang dilakukannya dengan menurunkan pemain-pemain yang jarang beraksi membuahkan hasil apabila mereka mempamerkan aksi bertenaga di sepanjang perlawanan.

Artikel Berkaitan:

“Saya bangga menyaksikan pemain-pemain yang diturunkan hari ini (Sabtu), memberikan aksi bertenaga bagi menghasilkan kemenangan ‘besar’ seperti ini.

“Malah, apa yang lebih membanggakan adalah mereka ini turut menjaringkan gol pada perlawanan tersebut seperti Daryl Sham (George), Asyar Hadi (Shapri) selain Safawi (Rasid), Syahmi (Safari) dan Safiq (Rahim), nyata cukup menyerlah.

“Selain itu, mereka turut membentuk persefahaman mantap yang sekali gus menyukarkan Kelantan FC lawan melakukan serangan berbahaya,” katanya.

Jelasnya, secara keseluruhannya, latihan intensif dan berintensiti tinggi yang diterapkan turut berperanan membantu pemain pada perlawanan berkenaan.