Dapat upah RM250 angkut migran

Kereta Perodua MyVi yang dipandu suspek yang terbabas ketika cuba melarikan diri daripada polis.
Kereta Perodua MyVi yang dipandu suspek yang terbabas ketika cuba melarikan diri daripada polis.
A
A
A

GUA MUSANG - Kegiatan seorang lelaki mengangkut lima Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Myanmar dengan upah RM250 setiap migran gagal apabila diberkas polis di Kilometer (KM) 5, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, di sini, pada Rabu.

Tangkapan ke atas suspek lelaki berusia 30-an itu dilakukan pada jam 6 petang.

Turut ditahan, lima Myanmar iaitu tiga lelaki dan dua wanita yang dibawa menggunakan sebuah kereta jenis Perodua MyVi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, semasa dalam perjalanan, suspek terserempak dengan anggota Unit Rondaan (MPV) daerah itu yang melakukan pemeriksaan mengejut di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis.

“Menyedari kehadiran anggota, suspek bertindak memandu secara berbahaya dan melulu untuk melarikan diri namun berjaya dihalang lalu terbabas di hadapan jalan masuk di Kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Siasatan mendapati, suspek membawa migran-migran itu dari Rantau Panjang, Kelantan untuk dihantar ke Bentong, Pahang dengan bayaran upah sebanyak RM 250 bagi setiap migran,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, kenderaan pasukan jenis Honda Civic turut terbabas akibat cuba dihimpit oleh kenderaan suspek namun tiada kecederaan dilaporkan ke atas anggota yang terlibat.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek turut menjumpai pil yang dipercayai jenis methaphetamine.

Artikel Berkaitan:

“Ujian urin suspek juga didapati positif dadah jenis yang sama,” katanya.

Choon Foo berkata, suspek dan migran berusia lingkungan belasan tahun hingga 40-an itu ditahan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963.

“Siastan turut dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan Seksyen 12(2) serta 15(1) Akta Dadah Berhahaya 1952,” katanya.