Undi awal Pilpres Indonesia berjalan lancar

Sebahagian warga Indonesia membuat semakan nama mereka sebelum mengundi pada Pengundian awal Pilihan Raya Presiden (Pilpres) Indonesia 2019 di Tempat Pemungutan Suara (TPS) KJRI Johor Bahru di Jalan Taat, Off Jalan Tun Abdul Razak, hari ini. - foto Bernama
Sebahagian warga Indonesia membuat semakan nama mereka sebelum mengundi pada Pengundian awal Pilihan Raya Presiden (Pilpres) Indonesia 2019 di Tempat Pemungutan Suara (TPS) KJRI Johor Bahru di Jalan Taat, Off Jalan Tun Abdul Razak, hari ini. - foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengundian awal Pilihan Raya Presiden (Pilpres) Indonesia yang berlangsung hari ini di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Jalan Tun Razak di sini, berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wang Superintendan Rudy Abdullah berkata, pusat pengundian pilihan raya negara republik berkenaan ditutup pada jam 6 petang tadi.

“Tiada sebarang laporan polis diterima dan kami berjaya mengawal situasi di sini (Kedutaan Indonesia) sejak jam 8 pagi sehingga 6 petang melibatkan seramai 45 pegawai dan anggota,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, sepanjang proses pengundian berkenaan hanya berlaku kesesakan lalu lintas sahaja.

Pada Pilpres 2019, Presiden Joko Widodo (Jokowi) akan mempertahankan jawatannya untuk penggal kedua, bergandingan dengan pasangan baharu Ma’ruf Amin, seorang ulama berpengaruh Indonesia, sebagai naib presiden.

Mereka dicabar bekas ketua tentera Prabowo Subianto yang bergandingan dengan bekas timbalan gabenor Jakarta, Sandiaga Uno, 49.

Menurut Komisi Pemilihan Umum (KPU), 711 kerusi menjadi rebutan dalam Majelis Permusyawaratan Rakyat (MPR) yang terdiri daripada 575 anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan 136 Dewan Perwakilan Daerah (DPD).

Juga terbuka untuk rebutan ialah lebih 19,500 kerusi di lebih 2,000 daerah, perbandaran dan daerah pemilihan dewan legislatif. - Bernama

Artikel Berkaitan: