Sekolah berusia perlu diaudit

Lam Thye diberi penerangan pada program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di sini hari ini.
Lam Thye diberi penerangan pada program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di sini hari ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sekolah berusia perlu melakukan audit keselamatan secara tahunan manakala yang baharu pula perlu diaudit setiap tiga hingga lima tahun.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, audit keselamatan boleh dilakukan dengan bantuan agensi lain termasuk NIOSH dan Jabatan Kerja Raya selain persatuan yang mewakili pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).

Menurutnya, pelbagai kemalangan yang berlaku di sekolah beberapa tahun kebelakangan ini seharusnya menjadi pengajaran untuk pihak pentadbiran agar melaksanakan audit keselamatan di premis mereka.

"Banyak kemalangan telah berlaku di sekolah termasuk yang melibatkan kematian guru, pelajar dan kakitangan sekolah.

"Antaranya termasuk yang disebabkan keruntuhan struktur bangunan, ditimpa kipas siling atau tiang gol serta kemalangan di makmal sekolah dan tandas.

"Terdapat juga kejadian ngeri di Gemas tahun lepas apabila seorang pelajar perempuan terbunuh manakala dua rakannya cedera apabila terkena bilah mesin pemotong rumput," katanya selepas merasmikan program KKP hari ini.

Program dianjurkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bandar Laguna Merbok itu mendapat kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Muda Yan di sini hari ini.

Lam Thye berkata, melalui audit keselamatan, sekolah terbabit dapat mengenal pasti hazard dan risiko di premis mereka dan mencari penyelesaian terbaik bagi mencegah kemalangan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihak sekolah juga harus diberi latihan yang mencukupi supaya tahu bagaimana untuk mengenal pasti risiko dan cara menanganinya berdasarkan konsep Pengenalan Hazard, Penilaian Risiko dan Kawalan Risiko.