Keluarga, waris tahanan SOSMA tuntut jawapan

Abe (dua dari kiri) mengharapkan suaminya segera dibebaskan.
Abe (dua dari kiri) mengharapkan suaminya segera dibebaskan.
A
A
A

KAJANG - Keluarga dan waris 32 individu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) mahu jawapan segera daripada kerajaan berhubung alasan penahanan itu dibuat.

Rata-rata mereka mendakwa tiada sebarang pengumuman dibuat oleh pihak berkuasa atas sebab apa ahli keluarga mereka ditahan dan dipenjarakan sejak enam bulan lalu.

Isteri kepada salah seorang tahanan, Abe Rameshwary, 42, mendakwa suami dan empat sepupunya masing-masing berusia antara 22 hingga 44 tahun ditahan polis di sekitar Selangor antara jam 3.30 pagi hingga 5 pagi pada 23 Jun lalu.

Abe yang menetap di Balakong berkata, ketika kejadian mereka sekeluarga sedang tidur sebelum dikejutkan dengan kehadiran polis bersenjata dan segera menahan suaminya.

"Kami tidak dibenarkan berjumpa, malah suami juga tidak diberi hak untuk membela diri. Polis beritahu suami ditahan reman 28 hari tetapi hingga ke saat ini, dia masih dalam tahanan dan tidak dapat berjumpa keluarga.

"Apa salah suami saya? Memang dia pernah dipenjarakan tapi sekarang dah insaf. Sepatutnya dia ke mahkamah untuk dituduh bukannya ditahan secara tidak adil," katanya pada sidang akhbar di hadapan Penjara Kajang pada Rabu.

Difahamkan Abe bersama puluhan ahli keluarga tahanan dan wakil Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengadakan perhimpunan bagi menuntut agar SOSMA dimansuhkan.

Sementara itu, ibu kepada dua anak yang hanya mahu dikenali sebagai Mala, 36, berkata suaminya yang berusia 37 tahun ditahan di rumah mereka di Cheras pada 23 Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

Mala
Mala

"Saya sedih kerana suami nak memulakan kehidupan baharu bersama keluarga selepas dipenjara selama lima tahun di Singapura tetapi dia ditahan pula polis negara ini.

“Kalau suami ada buat salah, kenapa perlu guna SOSMA? Suami tak dapat jamin selama 28 hari tapi sekarang dah enam bulan senyap tanpa sebarang berita," ujarnya.

Mala mendakwa sejak suaminya ditahan polis, dia mengalami tekanan kerana terpaksa menguruskan syarikat pengawal keselamatan milik suaminya seorang diri serta membesarkan dua anak berusia setahun dan enam tahun sendirian.

Koordinator Hak Untuk Dibicarakan Suaram, Azura Nasron mendesak kerajaan memansuhkan SOSMA kerana ia undang-undang zalim dan menganiaya tahanan yang tidak bersalah.

Beliau turut kecewa kerana penggunaan akta berkenaan menidakkan hak mereka dan ia perlu dimansuhkan.

Sebahagian ahli keluarga tahanan Sosma yang berhimpun secara aman dihadapan Penjara Kajang pada Rabu.
Sebahagian ahli keluarga tahanan Sosma yang berhimpun secara aman dihadapan Penjara Kajang pada Rabu.

Dalam pada itu, peguam yang mewakili semua tahanan, K Shalvin berkata, berdasarkan dokumen diperoleh, kesemua tahanan itu disyaki terlibat dengan kegiatan kumpulan kongsi gelap dan jenayah lain.

Jelas Shalvin, mereka masih dalam tahanan SOSMA dan akan dibicarakan pada Julai sehingga September 2024.

"Saya tidak dapat menjelaskan mengenai pertuduhan dihadapi mereka kerana perlu meneliti dokumen terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan susulan dapat dibuat," jelas beliau.