PRU15: Warga emas bertongkat antara terawal mengundi

Rahmah (kanan) ditemani cucunya, Noraishah menunjukkan jari yang telah dicelup dakwat selepas selesai mengundi di SK Bukit Selarong pada Rabu.
Rahmah (kanan) ditemani cucunya, Noraishah menunjukkan jari yang telah dicelup dakwat selepas selesai mengundi di SK Bukit Selarong pada Rabu.
A
A
A

PADANG SERAI - Walaupun bertongkat namun itu bukan penghalang buat seorang warga emas, Rahmah Saat menjadi orang terawal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Selarong di sini pada Rabu.

Rahmah, 78, mengakui masih teruja walaupun telah menghadapi proses pilihan raya hampir 10 kali sebelum ini, selain tidak mahu sia-siakan haknya untuk memilih wakil rakyat bagi Parlimen Padang Serai.

Dia yang ditemani cucunya, Noraishah Musa, 41, berkata, disebabkan teruja mahu memilih calon yang disokong membuatkannya tidak dapat tidur lena pada malam tadi.

“Saya tidak pernah terlepas menunaikan tanggunjawab untuk mengundi pada pilihan raya sejak muda lagi. Saya sudah lupa, tetapi mungkin lebih 10 kali.

“Saya percaya satu undi ini juga akan menjadi penentu masa depan negara,” katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Bukit Selarong di sini pada Rabu.

Sementara itu, pengundi muda, Muhammad Akmar Danial Shariff, 20, berkata, dia keluar awal bagi mengelakkan kesesakan di pusat pengundian.

Penuntut di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Johor itu berkata, ini merupakan pengalaman pertamanya mengundi dan tidak mahu melepaskan peluang melaksanakan tanggungjawabnya memilih wakil rakyat di kawasannya.

"Perasaan bercampur baur kerana saya harap pilihan saya ini adalah suatu yang tepat demi masa depan negara.

Artikel Berkaitan:

“Peluang yang diberikan kepada orang muda perlu direbut kerana kita boleh jadikannya sebagai pengajaran untuk memilih wakil rakyat berikutnya yang lebih baik,” katanya.

Parlimen Padang Serai menyaksikan pertandingan enam penjuru antara penyandang kerusi berkenaan, M Karupaiya dari Pakatan Harapan (PH) ditentang Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Datuk Sivaraj Chandran (BN), Azman Nasrudin (PN), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan calon Bebas, Ananda AK.

Bagaimanapun, calon Warisan dan BN menarik diri lebih awal bagi menyatakan sokongan kepada calon PH.

PRU15 bagi kerusi Parlimen Padang Serai ditangguhkan selepas calon PH yang juga penyandang, M Karupaiya, meninggal dunia pada16 November lalu akibat serangan jantung.