Reman wanita tipu gubahan belon hari jadi disambung

Antara rampasan barang susulan penahanan suspek di ibu negara pada Sabtu lalu.
Antara rampasan barang susulan penahanan suspek di ibu negara pada Sabtu lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Reman seorang wanita yang ditahan untuk siasatan kes penipuan dekorasi gubahan belon hari jadi disambung sehari.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, permohonan sambung reman dibenarkan satu hari sehingga Rabu.

"Siasatan masih dijalankan dan pihak polis mengingatkan kepada orang ramai lebih berhati-hati agar tidak menjadi mangsa.

"Polis sedang menyiasat sama ada suspek ini ada menjalankan khidmat acara untuk sambutan hari jadi, akikah atau sebaliknya.

"Polis juga percaya ramai yang menjadi mangsa dan tidak membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan ringkas pada Selasa.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan suspek wanita tempatan berusia 30 tahun yang ditahan pada Sabtu lalu di ibu negara itu telah direman selama empat hari sehingga Selasa.

Susulan penahanan suspek, polis turut merampas pelbagai barang antaranya dua telefon bimbit, peralatan komputer, 15 buah beg tangan pelbagai jenama, tiga pasang kasut pelbagai jenama selain dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Siasatan awal mendapati suspek menjalankan perniagaan menawarkan perkhidmatan dekorasi melalui laman sosial Instagram.

Artikel Berkaitan:

Individu yang berminat mendapatkan perkhidmatan dekorasi akan menghubungi suspek sebelum diarah untuk membuat transaksi bayaran online, namun suspek gagal menyediakan perkhidmatan tersebut pada hari yang dijanjikan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.