Wanita tipu dekorasi gubahan belon hari jadi diberkas

(Gambar kiri: Mohd Iqbal) Tangkap layar promosi yang dilakukan suspek di laman Instagram.
(Gambar kiri: Mohd Iqbal) Tangkap layar promosi yang dilakukan suspek di laman Instagram.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang wanita ditahan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur pada Sabtu untuk siasatan kes penipuan dekorasi gubahan belon hari jadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, wanita tempatan berusia 30 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira jam 4.30 pagi.

Menurutnya, polis turut merampas pelbagai barang antaranya dua telefon bimbit, peralatan komputer, 15 beg tangan pelbagai jenama, tiga pasang kasut pelbagai jenama selain dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Siasatan awal mendapati suspek menjalankan perniagaan menawarkan perkhidmatan dekorasi melalui laman sosial Instagram.

Antara barang yang dirampas susulan tangakapan suspek di ibu negara, Sabtu lalu
Antara barang yang dirampas susulan tangakapan suspek di ibu negara, Sabtu lalu

"Individu yang berminat mendapatkan perkhidmatan dekorasi telah menghubungi suspek sebelum diarah untuk membuat transaksi bayaran secara dalam talian, namun suspek gagal menyediakan perkhidmatan tersebut pada hari yang dijanjikan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Iqbal berkata, seorang mangsa telah mengalami kerugian sebanyak RM700 sebelum membuat laporan polis.

Katanya, semakan mendapati suspek juga terlibat dalam enam lagi kes di Selangor dan Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

"Kegiatan itu dipercayai telah dijalankan suspek sejak Julai lalu dan kebanyakan purata yang diambil daripada mangsa adalah kira-kira RM500 berdasarkan dekorasi yang diingini," jelasnya.

Tambahnya, polis percaya ramai lagi yang menjadi mangsa dalam kes ini dan digesa untuk tampil membuat laporan polis.

Ujarnya, wanita itu kini direman empat hari sehingga Selasa untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.