38 majikan gagal carum Perkeso dikompaun

Pemeriksaan dilakukan di salah satu premis dalam Op Kesan di Sungai Petani, Gurun dan Guar Chempedak, hari ini.
A
A

SUNGAI PETANI – Sebanyak 38 notis saman dikeluarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Sungai Petani kepada majikan membabitkan nilai RM21,500 atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.

Pengurus Pejabat Perkeso Sungai Petani, Shukri Mohammad Daud berkata, saman itu dikeluarkan selepas pemeriksaan dilakukan membabitkan 151 premis di Sungai Petani, Gurun dan Guar Chempedak dalam Op Kesan dijalankan sejak 10 pagi tadi.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 23 kes melibatkan kesalahan gagal dan lewat mendaftar perusahaan yang membabitkan nilai kompaun sebanyak RM14,500.

“Manakala 15 majikan diberikan notis kompaun sebanyak RM7,000 kerana gagal mendaftar pekerja dan mencarum dengan Perkeso,” katanya selepas operasi berkenaan yang turut disertai Ketua Cawangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Sungai Petani, Hafizah Hameed.

Menurutnya, walaupun notis pemakluman operasi sudah dihantar sebulan lalu, namun masih terdapat segelintir majikan yang belum mematuhi akta terbabit sehingga dikenakan kompaun.

“Mac lalu kita sudah beri notis peringatan supaya mana-mana majikan yang masih belum berdaftar berbuat demikian dan kini sudah lebih sebulan kelonggaran diberikan. Jika masih ada, kita tidak berkompromi lagi dan terus kompaun,” katanya.

Dalam pada itu, Shukri berkata, operasi itu melibatkan 44 anggota penguat kuasa termasuk 33 dari Perkeso dan 11 kakitangan KWSP.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia