OKU dikompaun guna pelekat tidak ikut spesifikasi

(Gambar kanan :Video tular pengadu OKU dikompaun ketiika meletakkan kenderaan di petak khas OKU.)
(Gambar kanan :Video tular pengadu OKU dikompaun ketiika meletakkan kenderaan di petak khas OKU.)
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang lelaki kategori orang kurang upaya (OKU) tular di media sosial selepas dikompaun kerana meletakkan kenderaan di petak khas untuk golongan OKU di Pantai Morib.

Video berdurasi dua minit tujuh saat itu dikongsikan Roslan Jajuli di platform TikTok yang kejadian tersebut dilaporkan berlaku Ahad lepas.

Menerusi video itu, pengadu keliru dengan tindakan penguatkuasaan yang dikenakan ke atasnya memandangkan kereta yang digunakan turut dipasang pelekat OKU.

Bagaimanapun, Roslan memberitahu sedia membayar kompaun tersebut namun berharap tidak dikenakan tindakan sama pada masa akan datang kerana beranggapan tidak melakukan sebarang kesalahan.

Dalam pada itu, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dalam satu kenyataan menjelaskan, penguatkuasaan diambil selepas mendapati pelekat kenderaan OKU yang digunakan tidak mengikuti spesifikasi yang ditetapkan.

"Individu yang videonya tular di media sosial didapati telah menampal pelekat OKU berbeza daripada versi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan kerajaan Selangor.

"MPKJ menerima aduan di lokasi menyatakan pelekat kenderaan OKU yang digunakan adalah meragukan.

"Hal ini kerana terdapat individu bukan OKU dengan sewenangnya membeli pelekat kenderaan OKU di kedai hanya untuk menggunakan kemudahan parkir khas tersebut," menurut kenyataan itu pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Kata kenyataan itu, menjadi tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan ke atas kenderaan yang didapati menggunakan pelekat meragukan demi memastikan layanan sama adil kepada orang awam.

"Bagaimanapun, notis kompaun tersebut boleh dipertimbangkan untuk dibatalkan sekiranya individu berkenaan boleh mengesahkan dirinya merupakan OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"MPKL juga akan membantu individu berkenaan untuk mendapatkan pelekat kenderaan yang sah," ujar kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, kerajaan Selangor telah menyeragamkan penggunaan pelekat kenderaan OKU yang sah digunakan di semua PBT negeri tersebut.

"Orang awam boleh merujuk di kawasan PBT masing-masing untuk tujuan permohonan pelekat kenderaan tersebut," katanya.

Sementara itu, menerusi video berasingan, pengadu memaklumkan kompaun yang dikeluarkan ke atasnya telah dibatalkan dan dia diberikan pelekat kenderaan baharu mengikut spesifikasi ditetapkan.

Selain berterima kasih dengan tindakan tersebut, pengadu turut mengesyorkan hebahan mengenai perkara itu diperluaskan bagi pengetahuan orang ramai yang kurang peka dengan peraturan tersebut.