Neymar kunci kemenangan Brazil

Neymar
Neymar
A
A
A

PENGENDALI Brazil, Tite menyifatkan tiada pemain lain yang dapat menggantikan kualiti dimiliki Neymar selepas pemain itu cemerlang membantu pasukan menewaskan Korea Selatan 4-1 dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2022 pada Selasa.

Neymar kembali dalam kesebelasan utama pasukan di Stadium 974 selepas mengalami kecederaan ligamen buku lali pada perlawanan pertama Piala Dunia itu.

Kemungkinan untuk pemain Paris Saint Germain (PSG) itu kembali daripada kecederaan sebelum ini diragui, namun dia tampil dengan peranan penting termasuk menjaringkan penalti untuk memastikan kemaraan skuad Selecao itu ke suku akhir.

"Dia memainkan peranan penting terutama dengan keupayaan teknikal dimilikinya. Apabila pasukan mencari pemain, mereka tahu bahawa mereka mempunyai senjata (seseorang yang boleh membuat) perbezaan.

"Setiap orang mempunyai ciri tersendiri, tetapi Neymar adalah pemain yang mampu memberikan nilai tambah kepada pasukan," katanya.

Brazil hanya memerlukan tujuh minit untuk membuka jaringan gol menerusi jaringan Vinicius Jr sebelum Neymar menyempurnakan penalti untuk gol ke-76 peribadi-kurang satu di belakang rekod sepanjang zaman milik Pele.

Richarlison kemudian menjadikan kedudukan 3-0 dengan jaringan menarik pada minit ke-29, disusuli dengan gol Lucas Paqueta tujuh minit kemudian.

Gol saguhati Korea Selatan dijaringkan Paik Seung-Ho pada minit ke-76.

Artikel Berkaitan:

Jaringan penalti Neymar itu juga menjadikan dia pemain Brazil ketiga yang berjaya menjaringkan gol dalam tiga edisi Piala Dunia (2014, 2018 dan 2022) selepas Pele dan Ronaldo.