Brazil singkir Korea tempah slot suku akhir

Neymar (kanan) meledak gol menerusi sepakan penalti untuk membantu Brazil membenam Korea Selatan 4-1 pada aksi kalah mati Piala Dunia 2022 pada Selasa. -Foto EPA
Neymar (kanan) meledak gol menerusi sepakan penalti untuk membantu Brazil membenam Korea Selatan 4-1 pada aksi kalah mati Piala Dunia 2022 pada Selasa. -Foto EPA
A
A
A

JUARA lima kali, Brazil mudah menjinakkan Korea Selatan 4-1 dalam aksi kalah mati Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium 974 awal pagi Selasa.

Kemenangan itu meletakkan skuad bimbingan Tite di laluan terbaik untuk memburu kejuaraan keenam, biarpun bakal berdepan naib juara edisi lalu, Croatia di peringkat suku akhir.

Pada aksi pusingan 16 terakhir itu, Brazil mempamerkan persembahan menghiburkan apabila mendahului Korea Selatan 4-0 pada babak pertama.

Vinicius Junior membuka tirai jaringan pada minit ketujuh untuk menewaskan Kim Seung-gyu.

Berselang beberapa minit kemudian Brazil dihadiahkan sepakan penalti selepas Richarlison dijatuhkan pemain tengah Korea Selatan, Jung Woo-young.

Pemain bintang, Neymar menerusi sepakan leret mudah sekali lagi menewaskan Seung-gyu untuk Brazil selesa di depan.

Tersentak ketinggalan dua jaringan, skuad Kimchi menyusun semula serangan dan hampir membuahkan hasil, namun percubaan jarak jauh Hwang Hee-chan dinafikan penjaga gol, Alisson.

Skuad Selecao menambah derita Pahlawan Taeguk dengan jaringan ketiga menerusi Richarlison pada minit ke-29.

Artikel Berkaitan:

Gawang Seung-gyu bolos lagi pada minit ke-36.

Kali ini tiba giliran Lucas Paqueta untuk mencatat nama selaku penjaring untuk melengkapkan kemenangan besar Brazil.

Bersambung babak kedua, Korea Selatan cuba merapatkan jurang gol, namun dinafikan Alisson yang kebal di gawang.

Enggan berputus asa, skuad dari Asia itu akhirnya menemui sasaran apabila Paik Seung-ho meledak pada minit ke-77 menerusi sepakan jarak jauh untuk meraih gol saguhati buat Korea Selatan.

Menerusi kemenangan itu, Brazil akan membuat perhitungan dengan Croatia di Stadium Education City pada Jumaat.

Croatia mara ke kelompok lapan terbaik selepas menyingkirkan satu lagi wakil Asia, Jepun 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa sebenar permainan.