Cari jodoh dalam talian selamat atau tidak?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PADA zaman kini pelbagai laman cari jodoh dalam talian muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan untuk menggalakkan golongan yang masih bersendirian mendapatkan pasangan masing-masing.

Ini adalah alternatif yang lebih moden berbanding menyerahkan urusan mencari jodoh kepada keluarga, kerana takut jodoh yang dicari tidak sepadan dengan ciri-ciri yang dicari.

Namun begitu, sejauh mana laman cari jodoh ini berkesan dan selamat untuk membantu golongan terbabit terutamanya mereka yang digelar ‘bujang senja’ mendapatkan pasangan?

Mengikut pengalaman penulis sendiri, cari jodoh melalui cara ini lebih santai dan selesa kerana ia tidak melibatkan keluarga kedua-dua belah pihak pada perkenalan pertama.

Selain itu, pengguna juga boleh mencari pasangan yang serasi, mempunyai hobi yang sama, bidang kerja atau lokasi kerja yang sama.

Jadi, ia memberi ruang kepada pengguna untuk memilih individu yang sesuai bagi melangkah ke peringkat seterusnya selepas berkenalan.

Walaupun belum bertemu muka dengan individu yang dikenali di laman terbabit, tetapi keselesaan dan keserasian itu dapat diterjemahkan melalui perbualan di ruang sembang di situ.

Apatah lagi, kebanyakan laman cari jodoh ini dilengkapi dengan kemudahan panggilan video yang membolehkan pengguna berinteraksi dengan lebih dekat di alam maya selain mengelakkan mereka tertipu dengan gambar profil pasangan yang diletakkan.

Artikel Berkaitan:

Walau bagaimanapun, jika bercerita tentang kebaikan, sudah pasti ada juga keburukannya. Di sini penulis menasihatkan jangan meletakkan harapan yang terlampau tinggi dengan pencarian jodoh di laman terbabit.

Ini kerana tidak semua yang mendaftar di situ berhasrat untuk serius mencari jodoh sebaliknya ada yang hanya sekadar suka- suka atau test market.

Golongan jenis ini biasanya tidak bertahan lama dalam perkenalan. Mereka akan cepat bosan dan beralih kepada mangsa seterusnya tanpa ada perasaan bersalah.

Oleh sebab itu, jangan cepat meletakkan perasaan di hadapan pada perkenalan pertama, anggap ia sebagai suatu proses menambah kawan dan pengalaman.

Selain itu, laman cari jodoh yang moden sebegini sebenarnya mengundang bahaya kepada golongan wanita.

Wanita yang kurang mendapat pendedahan tentang laman ini akan teruja pada kali pertama dia disapa oleh individu yang ingin berkenalan.

Lebih memburukkan keadaan apabila si lelaki menggunakan kata-kata manis dan pujian untuk memikat hati wanita, dan ditambah pula lumrah wanita memang mudah lemah dengan kata-kata pujian.

Pada peringkat ini, wanita seharusnya lebih peka dan berwaspada. Garis sempadan perlu diletakkan ketika di awal perkenalan dan jangan mudah terpedaya dengan semua kata-kata mereka.

Tidak salah jika wujud rasa was-was tentang semua latar belakang lelaki terbabit termasuk gambar profil dan info yang dinyatakan.

Perlu diingatkan juga golongan lelaki yang mendaftar di laman cari jodoh ini tidak semuanya bujang atau duda, sebaliknya ada juga yang berstatus lelaki orang.

Ambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk mengenal hati budi pasangan yang baru dikenali sebelum mengambil keputusan untuk bertemu di dunia nyata.

Pastikan berteman ketika kali pertama pertemuan dengan pasangan untuk memastikan tiada kejadian buruk berlaku.

Walaupun nasihat yang penulis berikan ini kedengaran agak kolot, namun ia penting untuk mengelakkan sebarang masalah di kemudian hari.

Banyak kes rogol berlaku melibatkan perkenalan di aplikasi cari jodoh sebegini, jadi amat penting untuk golongan wanita terus berwaspada. Tidak salah berusaha mencari jodoh namun maruah dan keselamatan diri tetap perlu diutamakan.

* Roshila Murni Rosli ialah wartawan Sinar Harian Kedah