Harga baharu telur diumum esok

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Harga baharu telur akan diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu pada Selasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengumuman itu bakal mengurangkan kebergantungan bekalan telur kepada kartel.

"Harga telur akan dikurangkan dan ia diserahkan kepada menteri tersebut," katanya menerusi sidang akhbar pasca mesyuarat kabinet pertama di sini pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Sebelum ini, rakyat mengeluh sukar untuk mendapatkan bekalan telur di sesetengah tempat dan ia sekali gus menyebabkan harga telur meningkat berlipat kali ganda.

Gangguan bekalan telur dilaporkan berlaku sejak awal tahun ini berlanjutan sehingga sekarang meskipun pelbagai tindakan telah diambil kerajaan.

Dalam pada itu, Anwar menegur Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang didakwa mempunyai monopoli terhadap import beras.

"Untuk berlaku adil kita harus tahu kebenaran import (AP) beras ini bukan konsesi dan bukan dianugerahkan kepada beliau tetapi juga syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, Bernas ketika itu dimiliki oleh Tan Sri Tan Boon Seng sebanyak 31 peratus dan turut dikuasai oleh syarikat milik Datuk Seri Shahidan Kassim.

"Syed Mokhtar telah membeli Bernas daripada Boon Seng sekitar RM800 juta dan RM400 juta daripada Shahidan.

"Jadi beliau tentunya mempunyai tanggungan untuk membayar balik," katanya.

Tegas beliau, kerajaan tidak akan mengizinkan pembolotan kekayaan oleh tokoh politik dengan begitu mudah yang menghisap darah pesawah padi miskin.

"Sekarang tidak boleh bebankan Syed Mokhtar seorang sehingga kita dapat meneliti keuntungannya sama ada pulangan itu berpatutan," katanya.

Justeru tegas beliau, Syed Mokhtar digesa untuk memberi peruntukan RM10 juta kepada pesawah miskin pada bulan ini dan RM50 juta daripada Bernas mulai tahun hadapan.

"Saya hanya memberikan contoh ini kerana ini adalah tata kelola pentadbiran yang baik bukannya slogan Melayu atau Islam," katanya.