Kerajaan biaya RM2.7 bilion kos diabetes, jantung, kanser

Dr Boon Chye (kiri) diiringi Dr Shaari (dua dari kanan) melawat gerai pameran di Karnival Koi Nak Sihat 2019 di Indera Mahkota, hari ini.
Dr Boon Chye (kiri) diiringi Dr Shaari (dua dari kanan) melawat gerai pameran di Karnival Koi Nak Sihat 2019 di Indera Mahkota, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan membiayai RM2.716 bilion setahun bagi kos rawatan diabetes, jantung dan kanser yang juga tiga penyakit utama dihidapi rakyat negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Lee Boon Chye berkata, jumlah itu direkodkan menerusi kajian ekonomi kesihatan Medical Journal of Malaysia, Vol.72, pada 2017.

Menurutnya, daripada jumlah itu, diabetes mencatatkan jumlah tertinggi iaitu RM2.04 bilion disusuli rawatan penyakit jantung koronari, RM544 juta dan kanser paru-paru iaitu RM132 juta, setahun.

"Namun demikian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Jabatan Kesihatan negeri akan sentiasa mempertingkatkan kempen kesedaran kepada masyarakat dalam usaha mencegah penyakit ini.

"Kajian tersebut adalah kajian paling terkini dan dari semasa ke semasa kerajaan sentiasa menjalankan program seperti karnival ini dalam menyeru rakyat negara ini ke arah gaya hidup lebih sihat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Karnival Koi Nak Sihat 2019 anjuran Jabatan Kesihatan Pahang di Indera Mahkota di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Boon Chye berkata, Tinjauan National Health Morbidity Survey (NHMS) Kementerian Kesihatan Malaysia 2015 mendapati satu daripada tiga dewasa adalah tidak aktif.

"Wanita adalah kumpulan tidak aktif berbanding lelaki dan kebanyakan yang tidak aktif ini berumur 60 tahun ke atas, lelaki serta wanita.

Artikel Berkaitan:

"Kajian Adolescent Health Survey 2017 pula mendapati majoriti remaja tidak cukup melakukan aktiviti fizikal seperti saranan WHO iaitu 60 minit sehari," katanya.

Sementara itu, menurutnya, kerajaan melalui KKM memperuntukkan RM100 juta untuk Bantuan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (Peka B40) mulai minggu hadapan.

"Bantuan itu disasarkan kepada 800,000 peserta bagi peringkat pertama meliputi penerima Bantuan Sara Hidup yang berusia 50 tahun ke atas.

"Mengikut rekod seramai 3.9 juta orang penerima yang layak menerima bantuan kesihatan dan mereka boleh periksa kelayakan mereka di laman web www.pekab40.com.my.," katanya.

Dr Boon Chye (tiga kanan) semasa gimik pelancaran Karnival Koi Nak Sihat 2019
Dr Boon Chye (tiga kanan) semasa gimik pelancaran Karnival Koi Nak Sihat 2019

Dr Boon Chye berkata, setiap peserta akan menikmati empat manfaat saringan kesihatan sama ada di klinik kesihatan swasta yang berdaftar atau klinik kesihatan kerajaan seperti pemeriksaan darah tinggi, kencing manis, buah pinggang, kolestrol dan kesihatan mental.

"Komponen kedua pula bantuan peralatan perubatan yang diperlukan peserta di hospital kerajaan seperti kanta untuk katarak (mata), stent dan pacemaker untuk penyakit jantung atau koronari, sendi tiruan, kerusi roda serta alat pendengaran," katanya.

Menurutnya, manfaat ketiga ialah untuk pesakit kanser yang menjalani rawatan di hospital kerajaan, akan menerima RM1,000 sebagai tanda sokongan dan dorongan kepada mereka yang selesai menjalani rawatan sepenuhnya.

"Akhir sekali ialah bantuan pengangkutan untuk menerima rawatan di hospital atau klinik kerajaan bernilai RM500 untuk pesakit di Semenanjung dan RM1000 bagi Sabah dan Sarawak," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Datuk Dr Shaari Ngadiman berkata, masyarakat diundang mendapatkan konsultasi doktor pakar secara percuma berkaitan penyakit kronik di lima siri Karnival Koi Nak Sihat 2019 yang diadakan pada April, Jun, Ogos, Oktober dan Disember ini.

Menurutnya, karnival yang bermula di Wisma Belia di sini itu dilangsungkan semalam hingga hari ini, diikuti Dataran Pantai Hiburan Rompin pada 29 dan 30 Jun; Dataran Temerloh pada 24 dan 25 Ogos; Padang Orang Kaya Haji Lipis pada 12 dan 13 Oktober serta Dataran Bentong pada 7 dan 8 Disember.

Karnival tersebut rangkuman lapan hari khas serta program khas kesihatan yang dilancarkan serentak, iaitu Hari Kusta Sedunia, Hari Tibi Sedunia, Hari Pergigian Sedunia, Hari Kesihatan Sedunia, Bulan Pemakanan Malaysia, Kempen When Active Living Kicks, Minggu Glukoma Sedunia dan Hari Nefrologi Sedunia.

"Rangkuman kesemua sambutan hari khas ini dapat menjimatkan RM300,000 wang kerajaan degan merangkumkan semua sambutan hari khas ini," katanya.