Banjir kilat: MBI sedia dana tambahan RM2 juta

Rumaizi (tiga dari kiri) meninjau perkembangan Projek Penyambungan Jalan Bagi Cadangan Jalan Utama Meru Raya-Klebang, Ipoh pada Ahad.
Rumaizi (tiga dari kiri) meninjau perkembangan Projek Penyambungan Jalan Bagi Cadangan Jalan Utama Meru Raya-Klebang, Ipoh pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyediakan peruntukan tambahan RM2 juta bagi melaksanakan pelbagai projek dan penyelenggaraan mengatasi banjir kilat tahun ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, dana itu adalah tambahan daripada RM1.5 juta yang disediakan di bawah peruntukan infrastruktur pencegahan banjir sebelum ini.

Menurutnya, peruntukan itu digunakan antaranya melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan saliran longkang, pembersihan kolam tadahan serta naik taraf rumah pam.

"Pembersihan longkang telah pun kita mulakan sejak Oktober lagi dan bulan lepas, kita telah buat lantikan kontraktor bagi kerja-kerja pengorekan kolam tadahan hujan.

"Setakat ini terdapat lebih 70 kolam tadahan di sekitar bandar raya Ipoh dan kita turut mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menyelia semua kolam tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini pada Ahad.

Rumaizi
Rumaizi

Beliau berkata demikian semasa lawatan tapak Projek Penyambungan Jalan Bagi Cadangan Jalan Utama Meru Raya-Klebang.

Rumaizi berkata, MBI turut menyediakan dua rumah pam baharu iaitu di kawasan Perindustrian Bercham dan Taman Pengkalan Harapan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tambahan itu menjadikan keseluruhan lapan rumah pam telah disediakan MBI bagi memastikan air bertakung disebabkan banjir di kawasan-kawasan rendah dapat disalirkan keluar ke sungai.

"Walaupun sekarang ini berlaku hujan lebat, kita harapnya tidak akan berlaku banjir kilat yang teruk dan alhamdulillah, setakat ini belum ada laporan kejadian banjir berlaku di sini (bandar Ipoh)," katanya.

Sementara itu, Rumaizi memaklumkan, Jalan Utama Meru Raya-Klebang yang dibina bagi melengkapkan jajaran Lebuh Chepor Utama 2 ke Lebuh Klebang Putra dijangka siap, Jun tahun hadapan.

Katanya, projek dengan kos lebih RM11 juta dalam bentuk Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) itu dilaksanakan dalam dua fasa iaitu pembinaan jambatan dan jalan raya.

"Fasa satu melibatkan pembinaan jambatan yang merentasi Sungai Pari telah siap sepenuhnya bulan lepas.

"Ketika ini fasa dua iaitu pembinaan jalan sedang dilaksanakan dengan kemajuan kerja setakat ini adalah 35 peratus dan dijangka siap pertengahan tahun depan," katanya.

Beliau berkata, pembinaan laluan itu bukan sahaja dapat memendekkan perjalanan dan mengurangkan kesesakan, tetapi membantu merancakkan aktiviti pembangunan perumahan di kawasan sekitar.

"Kita menerima permintaan ramai agar lebih banyak perumahan mampu milik dapat dibangunkan di sini.

"Dengan kemudahan jalan yang ada ini, kita anggarkan dalam tempoh lima tahun ini, lebih 1,700 rumah baharu dan lot komersial dapat dibangunkan pemaju," katanya.