Bot nelayan ditahan gajikan warga asing

Anggota Maritim Malaysia menjalankan pemeriksaan ke atas kru warga asing sebuah bot nelayan tempatan di perairan Kuala Selangor pada Sabtu.
Anggota Maritim Malaysia menjalankan pemeriksaan ke atas kru warga asing sebuah bot nelayan tempatan di perairan Kuala Selangor pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Sebuah bot nelayan tempatan dipercayai dikendalikan kru warga asing ditahan di perairan Kuala Selangor di sini pada Sabtu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, bot itu ditahan ketika melakukan aktiviti perikanan di kedudukan 3.1 batu nautika Kuala Selangor menerusi rondaan rutin yang dijalankan pihaknya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan oleh tiga kru termasuk tekong warga Myanmar berusia lingkungan 31 hingga 39 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Bot bersama kru dibawa ke Jeti Polis Marin Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, Maritim Malaysia memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan di perairan negara serta akan terus melakukan rondaan dan pemantauan di sempadan negara

"Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk tindakan," katanya.

Artikel Berkaitan: