MASFIH gesa salur segera bantuan kewangan RM10,000 untuk waris rakyat Malaysia hilang

Dr R Manivannan - Foto: Bernama
Dr R Manivannan - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH) menggesa kerajaan supaya menyegerakan penyaluran bantuan kewangan khas secara sekali bayar berjumlah RM10,000 kepada waris 54 rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang susulan bencana banjir di Nepal-Tibet pada 26 Ogos lepas.

Jurucakap MASFIH, Dr R Manivannan berkata, walaupun satu majlis penyerahan bantuan telah diadakan pada 25 November, dana tersebut masih belum dikreditkan ke dalam akaun bank penerima sehingga hari ini, yang menandakan hari ke-95 tragedi itu.

"Kami berharap penyaluran sebenar dapat disegerakan. Bagi keluarga yang menghadapi komitmen kewangan segera, bantuan ini bukan sekadar simbolik, malah merupakan sokongan praktikal yang sangat diperlukan dalam tempoh yang amat sukar ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Manivannan menzahirkan penghargaan kumpulan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri kerana meluluskan bantuan khas tersebut, serta kepada Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) kerana memudah cara pelaksanaannya.

Dalam kenyataan sama, MASFIH turut menggesa kerajaan untuk mewujudkan saluran komunikasi yang jelas, memberikan kemas kini secara berkala, serta melantik pegawai khusus bagi menangani kebimbangan keluarga 54 rakyat Malaysia yang hilang itu.

Manivannan berkata walaupun memahami bahawa beberapa kementerian dan agensi terlibat dalam perkara itu, penyelarasan yang berkesan, akauntabiliti yang jelas, serta komunikasi yang tepat pada masanya adalah sesuatu yang jauh lebih penting.

"Keluarga berhak untuk terus dimaklumkan. Mereka seharusnya tidak perlu berulang kali mendesak pihak berkuasa bagi mendapatkan maklumat mengenai orang tersayang mereka yang hilang,” katanya.

Beliau berkata meskipun MASFIH terus berinteraksi dengan kerajaan untuk menyuarakan kebimbangan keluarga yang terjejas, persoalan-persoalan penting masih tidak terjawab; situasi ini sering memaksa ahli keluarga untuk melakukan tindakan susulan berulang kali demi mendapatkan perkembangan terkini.

"Dalam beberapa keadaan, perkembangan baharu diketahui melalui pengumuman awam atau sidang parlimen, sebelum keluarga terbabit menerima penjelasan secara langsung,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!