Sanusi diminta hentikan budaya politik cerca

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diminta menghentikan budaya politik mencerca dan kembali bersatu memulihkan ekonomi negara selain mengembalikan keharmonian dalam masyarakat.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari berkata, sekarang adalah masa untuk semua pihak mengutamakan kestabilan politik negara selepas Kerajaan Perpaduan dibentuk di peringkat Persekutuan.

“Cukup-cukuplah, PRU15 telah pun berakhir. Kerajaan Persekutuan telah dibentuk dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Pada Jumaat, ketika menyampaikan ceramah program Jelajah Menteri Besar Kedah di Parlimen Padang Serai, di Taman Mutiara, Kulim, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah melabelkan kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan gelaran 'kerajaan luar tabii'.

Ia susulan pelantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam barisan kabinet baharu Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu, Taufiq yang juga Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Kedah menyifatkan cercaan ‘kerajaan luar tabii' sebagai menyinggung kuasa melantik Perdana Menteri untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.

“Kenyataan Muhammad Sanusi itu mencemar kewibawaan beliau sebagai seorang Menteri Besar. Beliau lupa, beliau sendiri pernah bertindak di luar tabii demokrasi, membelakangkan semangat Undang-undang Tubuh Negeri Kedah dan mengkhianati mandat rakyat dengan menubuhkan kerajaan PN Kedah.

“Ibarat ayam berkokok, ekor bergelumang tahi, Sanusi harus sedar rakyat tidak akan sesekali lupa PN didirikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli-ahli Parlimen yang bertindak di luar tabii demokrasi dengan mengkhianati mandat PRU14,” katanya.

Artikel Berkaitan: