UiTM juara Piala Sumbangsih Liga IPT

Para pemain UiTM meraikan kejayaan merangkul kejuaraan Piala Sumbangsih Liga IPT selepas menewaskan UPNM dalam perlawanan di Stadium UiTM, Shah Alam pada Sabtu.
Para pemain UiTM meraikan kejayaan merangkul kejuaraan Piala Sumbangsih Liga IPT selepas menewaskan UPNM dalam perlawanan di Stadium UiTM, Shah Alam pada Sabtu.
A
A
A

UiTM melaungkan amaran untuk terus menguasai saingan Liga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022/2023 apabila merangkul kejuaraan Piala Sumbangsih pada Sabtu.

The Young Lions selaku tuan rumah berstatus juara Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) Ogos lalu menewaskan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) 2-1 dalam perlawanan di Stadium UiTM, Shah Alam.

UPNM yang merupakan juara Piala Menteri Pengajian Tinggi 2022 memberikan saingan sengit dan mendahului 1-0 pada separuh masa pertama hasil rembatan N Thineswaran pada minit ke 20.

Bagaimanapun aksi babak kedua lebih mencemaskan dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Muhammad Mirza Malik akhirnya memadam kelebihan dimiliki UPNM apabila meledak gol penyamaan untuk UiTM pada minit ke-53.

Asakan UiTM semakin rancak menyaksikan akhirnya Muhammad Zarif Nazhan menyumbat masuk gol kedua tuan rumah pada minit ke-66.

Walaupun UPNM bekerja keras untuk mencari jaringan penyamaan namun kedudukan kekal hingga tamat permainan.

Saingan Liga IPT 2022/2023 yang menyingkap tirai hari ini membabitkan 14 pasukan Divisyen Satu, 14 pasukan Divisyen Dua dan 11 pasukan Divisyen Tiga.

Artikel Berkaitan:

Divisyen Satu bermula hari ini dijadualkan tamat pada Februari 2023, manakala Divisyen Dua akan dilangsungkan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada 8 hingga 16 Disember.

Sementara Divisyen Tiga berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari 23 hingga 31 Disember tahun ini.

Kemuncak saingan Liga IPT 2022/2023 ialah Piala Menteri Pengajian Tinggi 2022/2023 yang dijangka berlangsung pada Mac 2023.

Piala Sumbangsih dan hadiah kepada pemenang disampaikan Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Dr Pekan Ramli dan Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Pentadbiran, Pengurusetiaan dan Jemaah Menteri, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Salasiah Yusop.