Piala Remaja Asia 2023: Young Tigress tewas di tangan India

Aksi ketika Young Tigress bertemu pasukan India pada perlawanan kedua Kumpulan A kempen Piala Remaja Wanita Asia 2023 di Kakamigahara, Jepun. - Foto: MHC
Aksi ketika Young Tigress bertemu pasukan India pada perlawanan kedua Kumpulan A kempen Piala Remaja Wanita Asia 2023 di Kakamigahara, Jepun. - Foto: MHC
A
A
A

[DIKEMAS KINI] SKUAD hoki remaja wanita kebangsaan nyata bukan tandingan pasukan India apabila tewas 1-2 pada aksi kedua Kumpulan A kempen Piala Remaja Wanita Asia 2023 di Kakamigahara, Jepun pada Isnin.

Biarpun skuad Young Tigress terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ke enam menerusi gol padang oleh tonggak ‘striker’ Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri, namun kegembiraan skuad kendalian Lailin Abu Hassan tidak bertahan lama apabila pemain India Mumtaz Khan menyamakan kedudukan dengan menghasilkan jaringan sudut penalti empat minit kemudian.

Jaringan berkenaan menjadi tonik tambahan buat India yang terus menggandakan kedudukan hasil penyudah Deepika menerusi pukulan penalti pada minit ke-26.

Pasukan negara yang ketinggalan, cuba bangkit melakukan serangan balas, namun gagal menembusi benteng pertahanan India sehingga wisel penamat ditiupkan sekali gus memberi pasukan lawan tiga mata penuh untuk berada di tangga teratas Kumpulan A selepas dua kemenangan.

Malaysia pula setakat ini berada di kedudukan ketiga kumpulan selepas semalam membenam Taiwan 7-0 pada perlawanan pertama dan dijadual bertemu Uzbekistan jam 11 pagi waktu Malaysia, pada Selasa

Sementara itu, biarpun tewas Lailin tetap memuji corak permainan dipamerkan anak buahnya yang bertungkus lumus menentang pasukan India yang disifatkan antara skuad terkuat.

"Saya berpuas hati dengan kesungguhan ditunjukkan pemain, mereka memang inginkan kemenangan dengan menunjukkan permainan terbaik hari ini dan buktikan kita boleh memberi tentangan kepada pasukan lebih kuat seperti India.

"Kita telah merancang ataupun melihat analisis pukulan sudut penalti pihak India dan kita dapat membaca gerakan setiap pemain atau penyerang India terutama sudut penalti, larian yang dilakukan pemain kita juga baik," katanya menerusi satu video dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kepada media hari ini.

Dalam pada itu, Lailin turut mengingatkan semua pemain supaya fokus untuk memastikan kemenangan menentang Uzbekistan esok, selain memanfaatkan masa yang ada untuk kembali pulih sebelum perlawanan.

Kejohanan berlangsung sejak 2 Jun hingga 11 Jun ini, yang juga merupakan aksi kelayakan Piala Dunia Remaja Wanita, disertai oleh 10 pasukan dan dibahagi kepada dua kumpulan.

Juara dan naib juara kumpulan akan melangkah ke separuh akhir, manakala tiga pasukan terbaik mendapat slot ke Piala Dunia Remaja Wanita 2023 berlangsung di Santiago, Chile, pada 29 November hingga 10 Disember depan. - Bernama