[VIDEO] Dua lelaki Nepal maut, wajah ada kesan hentakan

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk siasatan lanjut.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk siasatan lanjut.
A
A
A

SEREMBAN - Dua lelaki warga Nepal ditemukan maut dengan kesan hentakan pada muka di sebuah rumah kedai di Jalan Haruan 4/7 Taman Perindustrian Oakland, pada Sabtu.

Mayat mangsa berusia 35 dan 46 tahun itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah jam 6.25 petang di rumah kedai berkenaan yang dijadikan kantin pekerja.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, sebaik mendapat maklumat, polis telah ke lokasi dan menemui dua lelaki terbaring dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah.

"Keadaan kedua-dua mangsa berjauhan antara satu sama lain tidak sedarkan diri dan didapati muka mereka berlumuran darah.

"Berdasarkan siasatan awal, polis percaya mangsa dipukul menggunakan penukul dan senjata berkenaan turut ditemui di lokasi," katanya ketika ditemui di lokasi pada Sabtu.

Seorang lelaki warga Nepal ditahanbagi membantu siasatan.
Seorang lelaki warga Nepal ditahanbagi membantu siasatan.

Menurutnya, seorang lagi lelaki warga Nepal berusia 37 tahun turut ditemui berada di lokasi dan telah ditahan bagi membantu siasatan.

Sementara itu Nanda berkata, kedua-dua mangsa bekerja sebagai pengawal keselamatan di syarikat sama dan seorang dari mereka tinggal bersebelahan tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Difahamkan lokasi kejadian merupakan kantin untuk pekerja pengawal keselamatan mengambil makanan.

"Polis masih menyiasat motif kejadian termasuk kaitan suspek yang berada di lokasi. Pihak kami akan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.