496 'bayi terbuang' berjaya diselamatkan

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Oprhancare berjaya menyelamatkan seramai 496 bayi yang diserahkan kepada pertubuhan itu sejak 2008 di seluruh negara termasuk 85 bayi menerusi program 'baby hatch' atau peti pelindung bayi.

Pengerusinya, Tan Sri Faizah Mohd Tahir berkata, semua bayi yang diselamatkan itu akan diserahkan kepada keluarga angkat sebaik selesai semua proses diperlukan.

Menurut beliau, pihaknya akan menapis senarai keluarga angkat dan memastikan mereka memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti stabil daripada segi kewangan.

"Yayasan ada menyimpan senarai keluarga yang berminat untuk mengambil anak angkat dan akan menyerahkan bayi itu kepada pasangan yang sesuai bagi memastikan mereka tidak diabaikan.

"Anak- anak ini akan dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka dijaga dengan baik oleh keluarga baharu," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Baby Hatch Hospital Pakar An-Nur sempena Hari Kanak -kanak Sedunia di Bandar Baru Bangi, pada Sabtu.

Tambah Faizah, setakat ini terdapat tujuh 'baby hatch' di semenanjung Malaysia antaranya di Petaling Jaya, Johor Bharu dan Sungai Petani.

"Bagaimanapun, ada perancangan untuk menambah 'baby hatch'.Fokus utama kami sekarang ini ialah untuk menyelamatkan nyawa bayi yang dilahirkan.

Artikel Berkaitan:

"Justeru golongan wanita terutamanya yang hamil diluar nikah digesa tidak membuang bayi yang dilahirkan sebaliknya menghantar anak mereka ke ‘baby hatch’," ujarnya.

Faizah turut berkongsi sebanyak 64 daripada 100 kes pembuangan bayi pada tahun ini ditemui meninggal dunia manakala selebihnya berjaya diselamatkan namun berada dalam keadaan tidak baik.

"Kalau bayi yang ditinggalkan itu ditemui awal tidak mengapa, masih selamat tetapi jika tidak kemungkinan anak itu akan meninggal dunia.

"Pelbagai peringkat umur ibu yang datang kepada kami untuk serahkan anak malah ada di antara mereka baru berusia seawal 14 tahun. Mereka ini perlu diberi kesedaran agar tidak mengulangi kesilapan yang " jelasnya.