Lewat umum kabinet bukan isyarat Anwar gagal

Nik Ahmad Kamal
Nik Ahmad Kamal
A
A
A

SHAH ALAM - Kelewatan dalam pembentukan kabinet menteri ketika ini bukan satu isyarat kegagalan bagi Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penganalisis politik, Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, ia adalah perkara biasa memandangkan kerajaan ketika ini bukan terbentuk dengan majoriti satu pihak sebaliknya melibatkan sokongan pelbagai gabungan.

“Perdana Menteri telah berjanji bahawa kabinet menteri yang akan dibentuk adalah kecil bukan seperti kabinet pada masa lalu.

“Untuk tubuhkan sebuah kabinet yang kecil tetapi pada masa yang sama gabungan parti dalam kerajaan banyak, pelantikan menteri itu akan mengambil masa sedikit,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki yang menyatakan kelewatan pembentukan kabinet menteri oleh Anwar adalah kegagalan pertama buatnya.

Mohd Zuhdi menjelaskan Anwar dilihat sangat lewat dalam mengumumkan kabinet sedangkan suasana negara sangat kritikal ketika ini.

Jelasnya, tindakan tersebut akan merisikokan pentadbiran kerana negara bakal berhadapan dengan bencana banjir pada akhir tahun.

Sementara itu, Nik kamal ketika mengulas tentang pembentukan kabinet itu menyatakan pentadbiran kerajaan masih boleh berjalan sekiranya tiada menteri yang dilantik kerana dukungan daripada penjawat awam.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun beliau mengulas, apa yang berbeza adalah tiada polisi baharu yang dapat diperkenalkan kerana ia melibatkan persetujuan daripada kabinet berkenaan.

“Penjawat awam hanya boleh mencadangkan tetapi untuk meluluskan polisi ia terletak di bawah bidang kuasa menteri yang dilantik,” tambahnya.

TAMAT