Kurang faham kesepakatan Kerajaan Perpaduan punca gagal - Norwani

Norwani (dua kanan) ketika membawa pegawai pertanian Negeri Sembilan melawat tapak cadangan bagi kebun komuniti di Apartment Seroja, Taman Tasik Jaya.
(FOTO: Norwani Ahmat)
Norwani (dua kanan) ketika membawa pegawai pertanian Negeri Sembilan melawat tapak cadangan bagi kebun komuniti di Apartment Seroja, Taman Tasik Jaya. (FOTO: Norwani Ahmat)
A
A
A

SEREMBAN - Bekas calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Norwani Ahmat tidak menolak kurangnya kefahaman mengenai kesepakatan dalam Kerajaan Perpaduan oleh akar umbi antara punca parti itu gagal mempertahankan kerusi tersebut pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos lalu.

Menurutnya, agenda kesepakatan antara gabungan PH dengan Barisan Nasional (BN) yang berjalan lancar di peringkat kepimpinan, berkemungkinan tidak sampai ke peringkat akar umbi.

"Jadi peringkat kepimpinan sahaja faham dan mungkin ahli-ahli bawah ini perlukan masa untuk kita terangkan tentang Kerajaan Perpaduan.

"Mungkin atas faktor itu kurang berlakunya peralihan undi sama ada di peringkat BN ataupun PH.

"Selain itu, jumlah undian kali ini juga ada kaitan dengan pengundian awal dan pos memang tidak memihak kepada kita dan ia bukan DUN Paroi sahaja tetapi satu negara," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Katanya, peratusan keluar mengundi yang rendah juga memainkan peranan dalam menentukan jumlah undi dengan di Negeri Sembilan menunjukkan peratusan mengundi kira-kira 65 peratus sahaja.

Pada PRN lalu, Norwani tewas kepada Perikatan Nasional (PN) diwakili Kamarol Ridzuan dengan majoriti sebanyak 5,539 apabila PN mendapat 23,840 undi manakala PH hanya 18,301 undi.

Norwani pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) turut mewakili PH bagi kerusi Parlimen Jempol tetapi tewas kepada calon BN yang diwakili penyandang DUN Serting, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Norwani yang merupakan bekas pengurus kanan kesihatan dan keselamatan pekerjaan di beberapa syarikat tempatan dan antarabangsa itu berkata, beliau tetap akan menyantuni rakyat walaupun tidak bergelar Yang Berhormat.

"Saya akan teruskan kerja kerja kebajikan yang pernah saya buat sebelum ini atas apa-apa platform yang ada. Terima kasih kepada para pengundi yang telah memberi undi dan sokongan anda kepada saya.

"Buat para pendokong PH, teruskan momentum dan gerak kerja kita serta raikan demokrasi.

"Kita perlu bekerja kuat untuk terus menyantuni dan menjadi ejen perpaduan demi negara dan negeri tercinta," katanya.