Sungai Batang Benar berbuih, bau sabun

Salah seorang kakitangan LUAS mencium sampel air bagi mengesan pencemaran bau di Kampung Rinching Hilir di Sungai Semenyih pada Khamis.
Salah seorang kakitangan LUAS mencium sampel air bagi mengesan pencemaran bau di Kampung Rinching Hilir di Sungai Semenyih pada Khamis.
A
A
A
SHAH ALAM - Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima maklumat berlaku pencemaran sungai berbuih di Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan disyaki berpunca daripada pelepasan premis kilang di kawasan perindustrian berdekatan pada malam Khamis.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, maklumat jam 8 malam itu diperoleh daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor.

Menurut beliau, siasatan segera LUAS mendapati keadaan Sungai Batang Benar masih berbuih dan bau seakan sabun dikesan di lokasi tersebut.

"Pemantauan statik LUAS di hilir kawasan negeri Selangor iaitu di Sungai Semenyih dan Sungai Buah mendapati keadaan adalah normal dan tiada bau dikesan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Loy Sian memberitahu, pensampelan bau yang dilakukan oleh LUAS di Kampung Rinching Hilir di Sungai Semenyih juga mencatatkan 0 ton.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan makluman daripada pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), pencemaran bau tersebut sehingga 4 ton telah dikesan di muka sauk Jenderam Hilir pada jam 11 malam Khamis.

"Sehubungan itu, operasi loji rawatan air (LRA) Semenyih terpaksa dihentikan sementara pada jam 11.15 malam hari sama dan diikuti LRA Bukit Tampoi pada jam 2 pagi Jumaat," ujar beliau.

Jelas Loy Sian, pemantauan statik LUAS pada jarak 1.5 kilometer daripada muka sauk Jenderam Hilir dipertingkatkan kepada setiap 30 minit bagi memantau rapi status pencemaran bau tersebut.

Menurut beliau, pemantauan statik oleh LUAS merekodkan bacaan 0 ton yang konsisten dan tren penurunan pencemaran bau di muka sauk Jenderam Hilir juga dicatatkan bermula jam 12.30 pagi Jumaat.
Artikel Berkaitan:


Katanya, berdasarkan laporan Air Selangor, LRA Semenyih telah beroperasi semula pada jam 1.30 pagi Jumaat dengan diikuti pengoperasian semula LRA Bukit Tampoi pada jam 8 pagi setelah bacaan bau mencatatkan 0 ton secara konsisten sebanyak tiga kali pensampelan.

"Menurut Air Selangor gangguan bekalan air adalah minima dan kawasan terlibat telah pulih sepenuhnya pada jam 9.30 pagi.

"Kejadian pelepasan air berbuih di Sungai Batang Benar disyaki berlaku lebih awal petang semalam ketika hujan lebat," jelas beliau.

Tambah Loy Sian, LUAS telah berhubung dengan JAS Selangor untuk tindakan susulan dan siasatan selanjutnya oleh pihak JAS Negeri Sembilan berikutan lokasi insiden tersebut berada di luar kawasan Negeri Selangor dan melibatkan kawasan perindustrian.

"Kerajaan Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukkan Enakmen LUAS 1999.

"Kerajaan Negeri Selangor dan LUAS meminta semua pihak prihatin terhadap aktiviti berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air negeri terutamanya dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada LUAS untuk diambil tindakan segera," katanya.