redONE Mobile, Mr Helmet perluas akses sanitasi topi keledar

SHAH ALAM - redONE Mobile dan CleanXpert Sdn Bhd, pengendali Mr Helmet bekerjasama bagi membolehkan perkhidmatan sanitasi topi keledar lebih mudah diakses dan mampu milik oleh komuniti penunggang motosikal di Malaysia.
Ketua Pegawai Jualan Kumpulan redONE Mobile, Ben Teh berkata, kolaborasi bersama jenama berkenaan akan melibatkan 18 kedai premier di tujuh negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Johor.
Menurut beliau, sanitasi topi keledar secara berkala membantu memastikan topi keledar lebih bersih dan selesa dipakai, terutamanya bagi pekerja ekonomi gig seperti penghantar yang menghabiskan masa berjam-jam di jalan raya.
"Penunggang motosikal merupakan sebahagian penting daripada komuniti yang kami santuni dan menawarkan sesuatu praktikal kepada mereka, melangkaui perkhidmatan telekomunikasi.
"Kerjasama ini juga membuka peluang kepada rangkaian rakan niaga redONE Mobile untuk memberikan lebih banyak manfaat kepada komuniti di sekeliling mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mr Helmet menyediakan perkhidmatan pembersihan dan sanitasi topi keledar menerusi mesin automatik serta platform digital yang menghubungkan penunggang motosikal dengan pelbagai perkhidmatan, perniagaan, jenama dan komuniti berkaitan.
Perkhidmatan sanitasi asas ditawarkan pada harga RM7 bagi setiap sesi, manakala pembersihan menyeluruh menerusi perkhidmatan ‘VIP Cleaning’ dikenakan bayaran RM10.
Selain itu, penunggang motosikal turut boleh mendapatkan perkhidmatan pengeringan pantas pada harga RM2. Mesin berkenaan beroperasi 24 jam sehari bagi memudahkan pelanggan menggunakannya mengikut kesesuaian masa.
redONE Mobile turut menawarkan manfaat tambahan menerusi pelan pascabayar redplanKM48 yang direka khas untuk pemandu e-hailing dan p-hailing.
"Pelanggan yang melanggan pelan ini akan menerima keahlian Mr Helmet selama setahun, sekali gus melayakkan mereka menikmati satu baucar ‘VIP Cleaning’ percuma setiap bulan selama 12 bulan berturut-turut dengan nilai keseluruhan RM120.
"Manfaat tambahan ini membolehkan pelanggan menikmati lebih banyak penjimatan sepanjang tahun," ujar Ben.
Dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutif CleanXpert Sdn Bhd, Razalee Yahya berkata, kolaborasi dengan syarikat telekomunikasi itu membuka peluang untuk memperluas usaha berkenaan dan membangunkan penyelesaian baharu bagi memenuhi keperluan penunggang motosikal.
Kedua-dua syarikat tersebut akan meneruskan kerjasama bagi memudahkan penunggang motosikal mendapatkan perkhidmatan sanitasi topi keledar Mr Helmet, sekali gus memberikan lebih banyak manfaat praktikal kepada komuniti berkenaan.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pelan, promosi dan inisiatif komuniti redONE Mobile boleh melayari laman web redonemobile.com.my, manakala maklumat mengenai perkhidmatan pembersihan topi keledar oleh Mr Helmet tersedia menerusi mrhelmet.io.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
