Azhar bakal kosongkan kerusi Speaker

Azhar Azizan - Foto Bernama
Azhar Azizan - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Tan Sri Azhar Azizan Harun mengesahkan akan mengosongkan kedudukannya sebagai Speaker Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang 19 Disember depan.

Menurutnya, Parlimen yang bakal bersidang akan dikendalikan oleh Setiausaha Dewan Rakyat.

"Mengikut Perlembagaan Persekutuan, saya perlu mengosongkan kerusi pada tengah malam 18 Disember.

"Jadi tiada Speaker sebelum dewan bersidang jam 10 pagi keesokan harinya," katanya memetik laporan The Star.

Jelas beliau, Setiausaha Dewan Rakyat akan terlebih dahulu memanggil Ahli Parlimen untuk bersidang sebelum proses pemilihan Speaker baharu dibuat.

"Jika ada satu nama yang dicadangkan, setiausaha akan umumkan Speaker dan jika ada lebih daripada seorang calon, undian akan dibuat," katanya.

Azhar yang dilantik sebagai Speaker pada Julai 2020 berkata, nama calon Speaker perlu dikemukakan kepada Dewan Rakyat selewat-lewatnya Isnin selaras dengan keperluan notis 14 hari.

Ujarnya, sebaik sahaja dipilih, semua ahli Parlimen akan mengangkat sumpah di hadapan Speaker baharu sebelum mempengerusikan pelantikan timbalan Speaker.

"Undian juga akan diadakan sekiranya lebih daripada satu nama dicadangkan untuk jawatan timbalan Speaker," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Parlimen akan bersidang pada 19 Disember depan antaranya akan membuat usul undi percaya terhadap beliau selain usul-usul kerajaan yang lain.

Pada 20 Disember, Dewan Rakyat dijadual turut bersidang bagi meluluskan mini bajet 2023 untuk pembayaran gaji penjawat awam.

Ia susulan Bajet 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 7 Oktober lalu tidak diluluskan kerana Parlimen dibubarkan tiga hari selepas itu.