Tebatan banjir: Elak perbezaan politik jadi halangan

Azman
Azman
A
A
A

PADANG SERAI - Tanggungjawab menaik taraf projek tebatan banjir adalah bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin berkata, permasalahan banjir yang membelenggu rakyat harus ditangani dengan kerjasama kerajaan Pusat kerana kosnya tinggi selain terdapat peruntukan di bawah kementerian terlibat.

Sehubungan itu, beliau berkata, perbezaan fahaman politik antara negeri dan Pusat tidak wajar menjadi halangan.

“Saya yakin kerajaan Persekutuan akan luluskan peruntukan RM400 juta bagi projek tebatan banjir di Parlimen Padang Serai, walau sesiapa pun dipilih menjadi wakil rakyat kawasan itu pada Rabu ini,” katanya ketika sidang akhbar di sini pada Khamis.

Azman berkata, perkara itu sudah lama berlarutan dan sudah beberapa kali dibangkitkan pihaknya sejak tahun 2013.

“Ia memang tanggungjawab kerajaan Persekutuan. Saya telah bangkitkan isu ini sejak saya berada di pihak pembangkang selepas menang untuk penggal pertama sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas.

“Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS) Kulim telah cadangkan projek tebatan banjir untuk selesaikan masalah banjir kilat yang sering melanda Padang Serai.

"Jika kerajaan Persekutuan yang baharu ini bertanggungjawab dan mahu selesaikan isu rakyat, wajar diluluskan walaupun kawasan berkenaan bawah parti pembangkang,” katanya lagi.

Azman mengulas kenyataan calon Barisan Nasional (BN), Datuk C Sivaraj yang beranggapan sekiranya Padang Serai diwakili parti yang membentuk kerajaan pusat, adalah lebih mudah untuk projek tebatan banjir tersebut diluluskan.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Azman memaklumkan JPS menganggarkan memerlukan RM400 juta untuk menyelesaikan isu banjir di kawasan tersebut.

Difahamkan terdapat lebih 10 penempatan di Padang Serai sering dilanda banjir berikutan masalah sungai cetek dan perparitan.

Dalam perkembangan lain, Azman meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melakukan pemeriksaan lebih meluas bagi mengesan penempatan yang belum menikmati perkhidmatan rangkaian telefon dan internet dengan sempurna.

“Terdapat kawasan yang masih alami masalah isyarat lemah seperti beberapa kampung di sini sebelum ini.

“Mungkin ada lagi tempat lain dalam Parlimen Padang Serai yang belum dikesan mempunyai masalah sama, mungkin kerana penduduk belum adukan masalah kepada mana-mana pihak,” katanya.

Pada Isnin lalu, media melaporkan sekitar 8,000 penduduk di beberapa taman perumahan dan kampung di sini masih tidak menikmati perkhidmatan rangkaian telefon dan Internet sejak 30 tahun lalu.

Kawasan itu ialah Taman Bunga Raya, Taman Raya Indah, Taman Raya Murni, Kampung Padang dan Kampung Nesa.

“SKMM telah masukkan isu ini dalam perancangan mereka bagi pelaksanaan satu struktur menara komunikasi baharu bawah Pelan Jendela sebagai langkah penyelesaian menambah baik kualiti jaringan.

“Pembinaan menara komunikasi baharu itu dijangka siap dalam tempoh setahun. Bagi penyelesaian interim, penyedia perkhidmatan turut diminta menjalankan pengoptimum di menara komunikasi sedia ada yang berhampiran dalam masa seminggu ini,” katanya.