Taktik seludup satu juta rokok guna lori ais tumpas

Syed Nor Adli (kanan) menunjukkan sebahagian daripada rokok seludup yang berjaya dirampas semasa Op Khas di Tumpat.
Syed Nor Adli (kanan) menunjukkan sebahagian daripada rokok seludup yang berjaya dirampas semasa Op Khas di Tumpat.
A
A
A

PASIR PUTEH - Taktik sekumpulan penyeludup menggunakan lori ais untuk membawa satu juta batang rokok putih masuk secara tidak sah ke negara ini berjaya ditumpaskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan pada Selasa.

Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, pada jam 3.30 pagi semasa melakukan rondaan menerusi Op Khas pihaknya telah mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan bergerak laju menuju ke perairan muara Tumpat.

"Bot peronda melakukan kejar buru sehingga bot pancung memasuki perairan alur Sungai Padang Tambun.

"Keadaan sungai yang cetek menyebabkan bot peronda kami terpaksa bergerak perlahan dan seterusnya meminta bantuan pasukan darat untuk membuat pencarian di kawasan sekitar," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Malaysia Negeri Kelantan di Tok Bali di sini, pada Khamis.

Menurut beliau, pada jam 6.10 pagi, pasukan darat menjumpai dua buah lori di tebing sungai Tambun kira-kira tiga kilometer dari lokasi kehilangan jejak bot pancung tersebut.

Ujarnya, bot pancung yang diburu disyaki memindahkan barangan seludup ke dalam kedua-dua lori itu.

"Kedua-dua lori itu ditinggalkan selepas mengesyaki kegiatan mereka disedari pihak kami.

Artikel Berkaitan:

Lori ais yang digunakan untuk menyeludup rokok putih bagi mengaburi pihak berkuasa.
Lori ais yang digunakan untuk menyeludup rokok putih bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Hasil pemeriksaan mendapati lori pertama mengandungi 70 bungkusan plastik hitam manakala lori kedua mengandungi 30 bungkusan hitam," katanya.

Beliau berkata, kesemua bungkusan tersebut mengandungi satu juta batang rokok putih dipercayai dari Hong Kong dan diseludup untuk pasaran di Selangor dan beberapa negeri lain.

"Rampasan melibatkan rokok putih bernilai RM1.045 juta termasuk cukai dan nilai dua buah lori RM55,000 dengan jumlah rampasan RM1.1 juta," katanya.

Syed Nor Adli berkata, mereka yang terlibat dipercayai sindiket melihat kepada kuantiti barang seludup yang banyak dan aktiviti yang dilaksanakan dengan terancang.

Tambahnya, suspek juga cekap melalui lorong laluan laut dan modus operandi dilaksanakan tengah malam dan awal pagi iaitu daripada jam 12 tengah malam ke jam 6 pagi ketika keadaan sunyi dan tiada orang.

Menurutnya, kes tersebut disiasat bawah Akta Kastam 1967.