Misi Argentina akhiri kemarau 36 tahun kembali menyala

Penyokong Albiceleste di Buenos Aires meraikan kejayaan Argentina mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia Qatar 2022. - Foto EPA
Penyokong Albiceleste di Buenos Aires meraikan kejayaan Argentina mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia Qatar 2022. - Foto EPA
A
A
A

RAKYAT Argentina memperbaharui semula harapan menggunung mereka dalam skuad La Albiceleste kendalian Lionel Scaloni, selepas mengalahkan Poland 2-0 pada Rabu, sekali gus menyaksikan pasukan dijanakan bintang Lionel Messi menempah slot pusingan 16 terbaik Piala Dunia Qatar 2022.

Perasaan euforia menyelubungi negara itu terutamanya di kawasan kejiranan Buenos Aires di Palermo, di mana ribuan para penyokong bergembira berkerumun untuk menonton perlawanan terakhir Kumpulan C tersebut di skrin gergasi taman.

"Saya mempunyai sepenuh kepercayaan terhadap kumpulan ini. Sejak Copa America mereka telah pun bersemangat jadi di Qatar 2022 kepercayaan kepada mereka tidak pernah padam," kata Nadir Cabrera, pemuda berusia 25 tahun merujuk kepada kemenangan kejuaraan serantau 2021 negara.

Angkatan Scaloni di Qatar 2022 memerlukan kemenangan untuk memastikan mara ke peringkat kalah mati selepas kekalahan mengejut 1-2 perlawanan pembukaan menentang Arab Saudi sebelum bangkit dengan kemenangan lebih meyakinkan 2-0 ke atas Mexico.

"Kami sudah pulih dari kejutan Arab Saudi dan selepas dua perlawanan hebat ini, kami kembali teruja!," Uriel Vieitez, remaja 19, tahun ketika dia meraikannya di jalanan ibu kota Buenos Aires dengan memakai baju dan topi Argentina beberapa minit selepas kemenangan Argentina 2-0 ke atas Poland.

Difahamkan, sekolah menggantung kelas awal dan pejabat menggantung kerja selama dua jam di negara Amerika Selatan untuk menyaksikan Albiceleste menjamin tempat di peringkat kalah mati.

Argentina kini sedang gigih berusaha memastikan penampilan di Qatar 2022 mengakhiri kemarau kejuaraan tertinggi bola sepak dunia selepas 36 tahun sejak kemenangan terakhir semasa era mendiang Diego Maradona ketika menewaskan Jerman Barat, 3-2 di Stadium Azteca, Mexico pada Piala Dunia Mexico 1986.

Selepas itu, Argentina berjaya mara ke perlawanan akhir pada edisi Itali 1990 dan edisi Brazil 2014, namun kecundang kepada Jerman dalam kedua-dua perlawanan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Cabaran Argentina seterusnya adalah berdepan Australia di Stadium Ahmad bin Ali pada pusingan 16 terbaik pada 4 Disember ini.

Sekiranya anak buah Scaloni berjaya mengatasi Socceroos, menanti mereka di suku akhir pemenang aksi Belanda menentang Amerika Syarikat di Stadium Antarabangsa Khalifa yang dijadualkan berlangsung pada 3 Disember.

Messi, yang menyinar dalam perlawanan menentang pasukan yang diketuai oleh bintang Poland, Robert Lewandowski, meminta sekali lagi kepada para penyokong Argentina, sama seperti sebelum ini untuk percaya keupayaan pasukan kebangsaan mereka.

"Kepada rakyat Argentina sama seperti pada mulanya, apabila kami bermula dengan teruk dan dengan kekalahan, kami pergi dengan tenang, kumpulan ini akan teruskan dengan cara ini dan semoga kami dapat meneruskan karakter seperti hari ini," katanya selepas perlawanan.