Scaloni hanya mahu Messi selesa, gembira

Messi bersama pemain-pemain Argentina meraikan kejayaan menjulang Piala Dunia 2022 di Qatar tahun lalu. - Foto Agensi
Messi bersama pemain-pemain Argentina meraikan kejayaan menjulang Piala Dunia 2022 di Qatar tahun lalu. - Foto Agensi
A
A
A

PENGENDALI Argentina, Lionel Scaloni menegaskan dia tidak peduli kelab menjadi pilihan Lionel Messi bermain bola sepak asalkan bintang La Albiceleste berasa selesa dan gembira.

"Biarkan dia pergi ke mana yang membuatkan dia berasa selesa dan gembira dengan rakan sepasukannya serta peminat kelab.

"Perkara itu tidak menjejaskan kami sebagai pasukan kebangsaan selagi dia gembira apabila dia menyertai kami dan kami memerlukannya untuk gembira," kata Scaloni.

Masa depan Messi di Paris Saint Germain (PSG) menimbulkan persoalan sejak minggu lalu selepas kelab milik Qatar itu menggantungnya kerana melakukan perjalanan ke Arab Saudi selain terlepas sesi latihan pasukan.

Messi kemudian meminta maaf kepada PSG dan rakan sepasukannya minggu lalu, kembali menjalani latihan pada Isnin.

Media Perancis pada Selasa melaporkan bahawa urusniaga perpindahan ke kelab Arab Saudi telah selesai, sambil menambah bahawa kapten Argentina itu dalam proses memuktamadkan butiran sebelum menandatangani kontrak.

Bagaimanapun bapa Messi menafikan sebarang persetujuan telah dicapai dengan pasukan lain berkata, tiada keputusan akan dibuat sehingga akhir musim ini.

Difahamkan Messi telah menerima tawaran rasmi untuk menyertai kelab Arab Saudi, Al-Hilal musim depan dengan pembaharuan kontrak di PSG bukan lagi pilihan bekas pemain Barcelona tersebut.

Sebelum ini, negara kaya minyak itu melantik Messi, yang genap 36 tahun bulan depan sebagai duta pelancongan tahun lalu dan dia melawat Jeddah pada Mei 2022.

Dia kembali pada Januari untuk bermain perlawanan persahabatan dengan PSG menentang pasukan Saudi All Stars, termasuk Cristiano Ronaldo - saingan Messi untuk gelaran pemain terbaik generasinya.