Debaran Pemilu Indonesia 2019

Sumber foto: Sesawi.net
A
A

TANGGAL 17 April 2019 merupakan tarikh keramat yang ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Indonesia.

Pemilihan Umum (Pemilu) 2019 merupakan suatu lakaran baharu sejarah demokrasi di negara itu. Pelaksanaan pilihan raya ini melibatkan pengundian yang buat pertama kalinya lima kategori Surat Suara ditadbirkan secara serentak.

Dua kategori pemilihan terlibat, merangkumi pemilihan peringkat nasional iaitu Presiden, Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan Dewan Perwakilan Daerah (DPD) serta pemilihan peringkat tempatan iaitu Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Provinsi dan Kabupaten/Kota.

Semakin menghampiri hari Pemilu, kempen dilihat semakin giat dan rancak dilakukan. Perebutan sebanyak 21,200 kerusi (1 Presiden, 575 DPR, 807 DPD, 2,207 DPRD Provinsi dan 17,610 DPRD Kabupaten/Kota) mendorong kepada penggunaan variasi kaedah yang paling ampuh dan kreatif oleh para calon untuk mendapat perhatian dan sokongan pengundi.

Semakin banyak bahan kempen dihebahkan menggunakan pendekatan visual seperti gegantung, kempen akhbar bercetak dan atas talian; pendekatan audio seperti hebahan lagu dan iklan kempen serta kedua-duanya - kempen televisyen dan ceramah terbuka. Kesemua ini bertujuan “mengikat” dan “memahat” calon-calon di hati pengundi.

Namun begitu, suasana meriah kempen ini dibayangi oleh “perseteruan” antara calon Presiden Jokowi-Prabowo, yang berupaya mencuri perhatian media yang lebih luas berbanding calon-calon daripada empat lagi kategori pilihan raya.

Monopoli kempen ini menjadi semakin parah apabila munculnya pelbagai desakan agar setiap calon daripada parti-parti gabungan dengan calon presiden untuk memuatkan sokongan terhadap calon presiden itu dalam setiap bahan mahupun hebahan kempen mereka.

Hinggakan kegagalan berbuat demikian akan memungkinkan kepada wujudnya gerakan kempen anti-calon/parti itu yang seterusnya akan menjejaskan populariti mereka.

Jika diteliti, Pemilu 2019 begitu menarik perhatian pelbagai pihak hinggakan badan-badan pemantauan pilihan raya yang dahulunya dalam angka ratusan, kemudian merosot kepada hanya 19 organisasi pada Pemilu 2014, secara tiba-tiba meningkat kembali kepada 51 buah organisasi.

Malahan, pilihan raya ini juga turut disertai oleh ratusan badan sukarelawan yang memainkan peranan penting berkempen terhadap calon tertentu, walaupun tidak disokong oleh latar kewangan yang kukuh.

Pengaruh Hoax yang semakin berleluasa juga semakin meracuni pemikiran rakyat, turut menjejaskan sokongan terhadap penyandang Jokowi. Justeru, para aktivitis 1998 terpanggil untuk menggerakkan pelbagai kumpulan sukarelawan. Pergerakan ini bertujuan menangkis isu lambakan berita palsu, supaya rakyat mampu memilih calon berdasarkan kredibiliti mereka.

Hakikatnya, agenda sebenar pergerakan ini adalah untuk kelangsungan politik Jokowi, yang dipercayai dapat mengekalkan dan memelihara demokrasi di negara tersebut.

Pemilu 2019 akan menyaksikan persaingan sengit antara calon Presiden Jokowi-Prabowo.

Sungguhpun pilihan raya ini menjadi ulangan persaingan Pemilihan Umum Presiden (Pilpres) 2014, kedua-duanya dilihat mempunyai peluang yang seimbang untuk memenangi pilihan raya.

Hal ini kerana, ketokohan dan ketegasan calon Prabowo merupakan aset penting beliau, yang menjanjikan kestabilan dan kedaulatan negara. Manakala penyandang Jokowi pula yang perwatakannya sederhana dan bersih dalam pentadbiran, turut terpalit dengan serangan siber yang menjejaskan reputasinya dalam kalangan pengundi.

Natijahnya, persaingan calon Pilpres ini berisiko untuk “menenggelamkan” penyertaan calon-calon lain daripada perhatian rakyat. Peningkatan semula penyertaan NGO dan Civil Society Organisation (CSO) sebagai badan pemantauan pilihan raya sememangnya bertujuan memastikan persaingan sihat antara calon.

Jangkaan persaingan sengit dalam pilihan raya dipercayai akan mendorong kepada berlakunya pelbagai manipulasi strategik oleh pihak-pihak berkepentingan.

Selaku klien utama pilihan raya, tentunya kuasa rakyat akan sekali lagi dituntut untuk menentukan corak pemerintahan Indonesia bagi tempoh lima tahun ini.

* Norazam Mohd Noor ialah penuntut PhD Program Sains PolitikPusat Dasar dan Governans Global Universiti Kebangsaan Malaysia


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.