Siasatan terhadap Sanusi episod hitam sejarah demokrasi negara

Laporan Sinar Harian pada Rabu. Khairil Nizam
Laporan Sinar Harian pada Rabu. Khairil Nizam
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menyifatkan tindakan siasatan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu sejarah pemilikan Pulau Pinang yang dikatakan milik Kedah sebagai episod hitam dalam sejarah demokrasi negara.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin berkata, Pas kesal dengan tindakan kerajaan PH-UMNO itu apatah lagi ketika kerajaan melaung-laungkan mengenai kebebasan bersuara.

"MB Kedah (Sanusi) hanya berkata berdasarkan fakta sejarah iaitu apabila ada pihak membayar pajakan tanah kepada pihak lain, amat jelas menggambarkan tanah tersebut seperti bukanlah dimiliki pembayar itu.

"Kenyataan ini juga dijelaskan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelas beliau, Pas tidak menafikan siasatan yang dijalankan polis adalah hak pihak berkuasa dan adalah prosedur biasa, namun tindakan ia dilihat sebagai 'ketakutan' kerajaan PH-UMNO terhadap perkara yang diangkat Muhammad Sanusi.

"Beliau hanya menyatakan fakta sejarah dalam pengetahuan beliau dan tidak menggugat ketenteraman seperti isu kalimah ALLAH.

"Kami berharap pihak berkuasa telus dalam siasatan dan melihat segala aspek termasuk fakta sejarah yang bukan rahsia lagi,"katanya.

Polis sudah memulakan siasatan mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan terhadap Muhammad Sanusi berhubung kenyataan Pulau Pinang milik Kedah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sebahagian daripada laporan sudah dikemukakan kepada Peguam Negara dan sedang menunggu tindakan selanjutnya.

Muhammad Sanusi juga dilapor selesai memberi keterangan kepada polis.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!