PRN: Tiada debaran kekalahan - Sanusi

Muhammad Sanusi mengangkat tangan selepas mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah hari ini. - Foto Bernama
Muhammad Sanusi mengangkat tangan selepas mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SIK - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yakin tiada berlaku kekalahan besar melibatkan Perikatan Nasional (PN) di Kedah.

Menurut Sanusi, hasil pemerhatian beliau mendapati gelombang PN di Kedah masih kukuh dan mampu bertahan.

"Saya optimis akan capai kemenangan, debaran kalah itu tiada.

"Biasanya kalau tengok suasana berdebar-debar mungkin kalahlah... kita pantau bukan hari ini sahaja (hari undi) malah sejak dua tiga hari yang lepas gelombang sambutan amat baik dan saya harap ia diterjemah ke kertas undi.

"Saya yakin menanglah," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya di sini pada Sabtu.

Mengenai potensi PN secara keseluruhan di enam-enam negeri yang berdepan PRN15, Muhammad Sanusi berkata, akan wujud beberapa tokoh besar yang tumbang.

"Seluruh negeri yang menghadapi PRN15 saya nampak gelombang PN itu besar dan akan ada beberapa 'upset' di beberapa negeri.

"Setidak-tidaknya di beberapa DUN, tokoh-tokoh besar Pakatan Harapan- Barisan Nasional akan tumbang dan beberapa calon 'underdog' PN akan menang, kita tunggulah malam ini," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai jawatan Menteri Besar (MB) Kedah pula, Muhammad Sanusi berkata, perkara itu merupakan satu proses yang berlainan yang akan diputuskan kelak.

"Yang itu saya tak tahu lagi kerana itu proses lain, ini merupakan proses untuk pengundian untuk jadi ADUN dahulu dan jawatan MB proses yang berlainan nanti," jelasnya.

Dalam masa sama, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PN menyeru orang ramai supaya keluar seramai mungkin untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.

Beliau turut memaklumkan akan berada di Kompleks Pas Kedah malam ini bagi mengikuti proses perjumlahan undi.

Bagaimanapun, Menteri Besar itu akan memberi tumpuan di kawasan Jeneri terlebih dahulu sebelum bergerak menuju Kompleks Pas Kedah. - Awani

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!