Jangan heret masyarakat dalam kancah perpecahan demi sokongan

Muhammad Faisal
Muhammad Faisal
A
A
A

SHAH ALAM - Seluruh pihak khususnya pemimpin politik tidak seharusnya mengheret masyarakat terjerumus ke dalam kancah perpecahan semata-mata untuk meraih sokongan, sebaliknya bersama meletakkan agenda pembinaan negara di hadapan.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, merujuk kenyataan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali pada 22 November lalu, sebanyak 515 kertas siasatan telah dibuka daripada 3,483 laporan diterima sejak 4 hingga 21 November 2022.

Menurutnya, laporan dan kertas siasatan itu antara lain dibuat melibatkan kes berkaitan Seksyen 298 dan 505 (b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 serta Seksyen 4(A), Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954.

“ABIM menegaskan amanah untuk merintis kembali keharmonian masyarakat terletak di bahu Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Ini antaranya dengan menetapkan penambahbaikan Indeks Prestasi Utama dalam portfolio serta kementerian berkaitan perpaduan dan integrasi nasional,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujar Muhammad Faisal, penubuhan Kerajaan Perpaduan merupakan peluang untuk mengembalikan politik nilai dengan menolak kelakuan menunggang sentimen agama dan kaum secara sempit sehingga meruntuhkan kemakmuran masyarakat.

Jelas beliau, akarnya adalah reformasi pada budaya dan cara fikir bangsa.

“Identiti kaum dan agama harus terus diperkukuh dengan tujuan untuk membangunkan bangsa.

Artikel Berkaitan:

“Sebaliknya, identiti tidak seharusnya digunakan untuk menyalakan api perkauman secara destruktif yang disulami hasutan dan fitnah seterusnya membawa pada kebencian dan dikhuatiri menjurus ke arah keganasan,” tambahnya.

Beliau berkata, semua pihak bertanggungjawab meredakan suhu politik negara khususnya melibatkan kerenggangan agama dan kaum yang telah menimbulkan kegelisahan seluruh rakyat Malaysia sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Ia susulan titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir agar tiada lagi pemimpin membangkitkan isu perkauman dan agama yang bertujuan menghasut masyarakat.

“Titah ini disampaikan baginda selaku Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 yang selesai bersidang pada 30 November lalu,” kata beliau.