Subsidi bersasar perlu seimbang, libatkan pengusaha industri

Azli
Azli
A
A
A

SHAH ALAM - Perlaksanaan subsidi bersasar kelak perlu mempertimbangkan keseimbangan terhadap pengusaha industri agar golongan itu tidak terkesan dengan inisiatif berkenaan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berpandangan, penstrukturan semula subsidi bersasar perlu dilihat secara holistik dengan turut merangkumi golongan berkenaan supaya tidak terjejas dengan kenaikan kos operasi sekali gus mewajarkan mereka menerima bantuan.

"Peringkat dasar kerajaan harus memastikan subsidi apabila dilakukan secara bersasar, tidak menjejaskan keseluruhan 'supply chain' yang melibatkan pengusaha industri yang memerlukan kepada khidmat petrol, gas, minyak masak dan sebagainya.

"Sekiranya bantuan bersasar ini tidak dilakukan dengan betul, ia akan menyebabkan penurunan kepada satu pihak tetapi akan memberi kenaikan kepada pihak lain. Maka tidak ada keseimbangan di sudut itu.

"Di peringkat Shah Alam pula, pihak berkuasan tempatan (PBT) seperti Majlis bandaraya Shah Alam (MBSA) perlu memberikan kemudahan kepada mereka yang ingin menambah pendapatan sebagai usaha membantu golongan memerlukan kurangkan beban kos sara hidup," katanya pada program Sinar Live bertajuk 'Pengaruh Anwar dan kesan ekonomi' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.

Program Sinar Live bertajuk 'Pengaruh Anwar dan Kesan Ekonomi' menampilkan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof (kiri) bersama hos, Fahiz Ariff yang berlangsung di auditorium Kumpulan Karangkraf pada Rabu.- Foto Sinar Harian RAFEQ REDZUAN
Program Sinar Live bertajuk 'Pengaruh Anwar dan Kesan Ekonomi' menampilkan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof (kiri) bersama hos, Fahiz Ariff yang berlangsung di auditorium Kumpulan Karangkraf pada Rabu.- Foto Sinar Harian RAFEQ REDZUAN

Turut diundang menjadi panelis adalah penganalisis ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai manakala Fahiz Ariff bertindak sebagai hos.

Dalam pada itu Azli turut mengingatkan semua agensi kerajaan dan kerajaan negeri untuk memainkan peranan masing-masing bagi mengenal pasti golongan yang benar-benar layak menerima bantuan sara hidup.

Artikel Berkaitan:

"Tidaklah begitu susah untuk mendapatkan maklumat golongan sasar kerana ada agensi seperti Jabatan Perangkaan, agensi-agensi dalam kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta PBT yang boleh salurkan maklumat dan melaporkan secara tepat kepada kerajaan.

"Apa yang penting ialah bantuan berupa subsidi dan penurunan kos sara hidup sampai kepada mereka yang layak untuk menerima," ujarnya.