Penetapan mekanisme subsidi bersasar 75 peratus selesai

Ahmad (kiri) mengadakan sidang media bersama Menteri Kewangan Maldives, Ibrahim Ameer pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (PPPDK) antara kerajaan Malaysia dan Maldives ketika di Bangunan Parlimen, pada Rabu. - Foto Bernama
Ahmad (kiri) mengadakan sidang media bersama Menteri Kewangan Maldives, Ibrahim Ameer pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (PPPDK) antara kerajaan Malaysia dan Maldives ketika di Bangunan Parlimen, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penetapan mekanisme bagi subsidi bersasar telah 75 peratus selesai, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, mekanisme tersebut berkemungkinan akan diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2024 yang dijadualkan pada Oktober depan.

"Ia masih lagi diperhalusi. Ia (subsidi bersasar) sudah dimulakan iaitu di Tabung Haji kepada mereka yang menunaikan haji baru-baru ini. (Kumpulan) T20, M40 dan B40 ada kadarnya dan T20 langsung tidak diberi (subsidi), elektrik juga sudah mula. Jadi, sudah tiba masanya untuk diesel dan RON95.

"Kita masih lagi memperhalusi dan masih belum ada lagi kemuktamadan kaedah yang ingin dilakukan. Belum ada kaedah yang benar-benar muktamad mengenai bagaimana cara untuk melaksanakannya. Bagaimanapun, keputusan subsidi bersasar itu sudah dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada majlis menandatangani Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (PPPDK) antara Malaysia dan Maldives di Bangunan Parlimen, pada Rabu.

Katanya, kaedah pelaksanaan subsidi bersasar masih lagi belum dimuktamadkan sama ada menerusi penggunaan kad pengenalan, kad khas atau menggunakan kuasa kuda (cc) kenderaan serta data pengenalan senarai T20, M40 dan B40.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata kerajaan dijangka akan melaksanakan pemberian subsidi bersasar, termasuk untuk petrol RON95 dan diesel, mulai tahun depan.

Mengulas sama ada mekanisme subsidi bersasar itu akan diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2024, beliau berkata ia berkemungkinan akan diumumkan kerana ia melibatkan pelaksanaan dasar baharu. - Bernama