Subsidi bersasar tarif elektrik dijangka diumum akhir tahun ini

Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan dijangka akan mengumumkan subsidi bersasar berkenaan tarif elektrik pada hujung tahun ini setelah sistem Pangkalan Data Utama (PADU) siap sepenuhnya.

Menteri Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ketika ini, pihaknya sedang meneliti opsyen Mekanisme baharu Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang munasabah kepada pengguna elektrik di Semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 1 Disember 2023.

Jelasnya, ia adalah berdasarkan jumlah penggunaan elektrik mengikut kediaman bagi kategori domestik, terutama yang menggunakannya dengan kadar yang tinggi.

"Kita mahu memastikan, jika sebelum ini, model pembangunan negara adalah ekonomi kos rendah, kita mahu menjadi ekonomi nilai tinggi dan kita juga mahu mencapai kecekapan tenaga serta peralihan kepada tenaga boleh baharu.

"Hanya jika kita betul-betul lepaskan kos itu kepada pengguna voltan tinggi dan sederhana, dan pengguna besar atau T20, baru kita dapat mencapai objektif itu.

"Keputusan untuk ICPT seterusnya akan dibuat selepas pembentangan dan persetujuan di peringkat Jemaah Menteri dalam masa terdekat," katanya di Dewan Rakyat semasa sesi pertanyaan menteri pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai perbelanjaan subsidi yang dijimatkan kerajaan berikutan pelarasan ICPT pada Januari lalu dan langkah lain yang sedang dirancang kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi tenaga elektrik di Malaysia.

NRECC komited selesai masalah air di Kelantan

Dalam pada itu, Nik Nazmi memaklumkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bersedia melihat soal kewangan termasuk untuk pembinaan loji rawatan air serta penggantian paip bagi menyelesaikan isu air di Kelantan.

Beliau berkata, ia susulan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang secara terbuka menyatakan komitmen kerajaan pusat untuk menyelesaikan isu itu.

"NRECC juga akan mengadakan perbincangan susulan dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi untuk mencari penyelesaian terbaik bersama," menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.

Kenyataan itu susulan pertemuan beliau dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan Datuk Azami Mohd Nor serta pengurusan tertinggi Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) pada Rabu.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembetungan) NRECC Dr Ching Thoo Kim, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman serta pegawai kementerian.

Menurut Nik Nazmi, antara isu dibincangkan ketika pertemuan itu ialah berkaitan pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Machang yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 dan cadangan pembangunan infrastruktur bekalan air bagi TAPS yang akan dibina.

"Perkara berkaitan pelaksanaan program pengurangan Air Tidak Berhasil (NRW) melalui penggantian paip-paip usang dan hapus kira pinjaman projek bekalan air luar bandar selari dengan Perjanjian Penstrukturan Industri Perkhidmatan Air Negeri Kelantan juga turut dibincangkan.

"Turut disentuh adalah berhubung perizaban tanah loji pembetungan kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dan hapus kira baki pinjaman projek pembetungan kepada geran," katanya.

Dalam pertemuan itu, beliau turut mengingatkan kerajaan negeri bahawa tanpa usaha membaiki tatakelola AKSB, permasalahan air tidak akan selesai dan oleh yang demikian, AKSB harus memperbetul tadbir urus mereka agar ia memberi manfaat kepada rakyat Kelantan.

Pada 11 Mei lepas, Nik Nazmi pernah mendedahkan bahawa kaedah tadbir urus AKSB menjadi faktor utama masalah air di Kelantan tidak selesai sehingga kini selain disebabkan soal peruntukan dan perkara itu diakui serta dimaklumkan oleh bekas Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.