RM2 juta perkasa fasiliti pelancongan Terengganu tahun depan

Ariffin ketika sesi penggulungan sidang DUN pada Rabu.
Ariffin ketika sesi penggulungan sidang DUN pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi memperkasakan fasiliti pelancongan yang terdapat di negeri ini pada tahun depan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, peruntukan itu bertujuan menambahbaik dan menyelenggara fasiliti pelancongan setiap daerah termasuk di kawasan pelancongan berasaskan komuniti (CBT).

Menurutnya, kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan kerjasama pejabat daerah akan mengenal pasti fasiliti yang perlu ditambahbaik dan berusaha memperkasakan lagi produk berasaskan komuniti bagi setiap daerah di negeri ini.

“Selain itu, bagi menampung kedatangan pelancong ke Pulau Perhentian, kerajaan negeri kini giat membina tempat ‘one-stop centre’ di tapak bangunan chalet kerajaan.

“Ia bagi menampung kedatangan pengunjung ‘day-trip’ ke Pulau Perhentian dengan kos pembangunan berjumlah RM300,000.

“Antara komponen pembangunannya termasuk meroboh, mencuci dan mengeluarkan sisa bangunan chalet kerajaan, membina tandas, bilik persalinan dan surau,” katanya ketika sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Rabu.

Sementara itu, Ariffin memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melalui kerjasama kerajaan negeri terus komited dalam melaksanakan projek Jalinan Digital Negara (Jendela) dalam memastikan peningkatan peratusan kesalinghubungan jaringan telekomunikasi di Terengganu.

Beliau berkata, SKMM telah mengambil maklum terhadap aduan telekomunikasi di Sekolah Menengah Sains Setiu yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Setiu pada Oktober lalu dan berkongsi maklumat berkenaan kemajuan projek menara di sana.

Artikel Berkaitan:

“Terdapat satu projek pembinaan menara baharu di bawah SKMM yang bakal dilaksanakan oleh Digi di Felda Setiu 1 akan dibina 0.4 kilometer dari sekolah dan permohonan telah dihantar melalui Majlis Daerah Setiu pada 19 September lalu.

“Projek ini dijangka mula beroperasi pada bulan Mei 2023,” katanya.