Purata enam mati setiap minggu di Selangor akibat Covid-19

Dr Siti Mariah
Dr Siti Mariah
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor mencatatkan purata enam kes kematian seminggu akibat Covid-19 sejak penularan wabak itu dua tahun lalu.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sebanyak 11 kematian dicatatkan pada minggu epid 46 yang berakhir 19 November lalu.

Menurut beliau, dari aspek kadar kematian kes (CFR) di Selangor secara keseluruhan pula mencatatkan sebanyak 10,911 kes atau 0.7 peratus.

"Bagaimanapun untuk tahun ini bermula minggu epid ke-3, kadar CFR ini telah menurun ke angka 0.1 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungip yang bertanya tentang tahap kawalan terhadap penularan Covid-19 semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Rabu.

Dr Siti Mariah berkata, secara umumnya, situasi Covid-19 di negeri ini sepanjang tahun ini adalah terkawal.

Ujar beliau, secara purata kes Covid-19 yang didaftarkan di Selangor adalah sekitar 1,000 hingga 2,000 kes sehari bermula minggu epid 35 sehingga minggu epid 46.

"Mengikut kategori kes yang didaftarkan, majoriti 95 peratus adalah kes kategori 2 manakala 4.5 peratus lagi adalah daripada kategori 3, 4 dan 5," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Ujar Dr Siti Mariah, antara faktor menyumbang kepada pengawalan jangkitan disebabkan kadar vaksinasi Covid-19 termasuk booster (dos penggalak) yang tinggi iaitu melebihi 90 peratus daripada jumlah penduduk negeri ini.

Selain itu, jelas beliau, fasiliti kesihatan awam yang mampu menampung kes-kes berkategori 3, 4 dan 5 serta aktiviti pendidikan kesihatan berterusan yang dijalankan bagi mengingatkan orang awam tentang langkah-langkah uji, lapor, maklum, asing dan dapatkan rawatan (TRIIS) serta kepentingan menjaga kesihatan kendiri antara penyumbang kepada kawalan jangkitan.

Bagaimanapun, ujar beliau, aktiviti promosi bagi menggalakkan masyarakat awam untuk mengambil vaksin penggalak kedua perlulah diteruskan terutama melibatkan golongan berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang mempunyai penyakit kronik dan ibu mengandung.

"Ini kerana kemunculan varian baharu sub - Omicron XBB telah menunjukkan peningkatan terhadap kadar kebolehjangkitan, walaupun kadar kematian yang disebabkan oleh varian baharu ini masih kekal rendah," jelasnya.