Jangan buat pembelian panik telur ayam

Ariffin (kanan) membuat pemantauan bekalan telur di ST Rosyam Setiawangsa pada Selasa.
Ariffin (kanan) membuat pemantauan bekalan telur di ST Rosyam Setiawangsa pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menasihatkan pengguna tidak membuat pembelian panik, sebaliknya berbelanja mengikut keperluan harian.

Pengarah KPDNHEP WPKL, Ariffin Samsudin berkata, isu kekurangan bekalan telur ayam yang tular di media sosial menyebabkan pengguna khususnya peniaga panik dan membuat pembelian dalam skala besar kerana bimbang terputus bekalan.

Menurutnya, KPDNHEP WPKL tidak menafikan dakwaan tersebut namun setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan rasmi daripada pengguna berhubung isu tersebut.

Saya nasihatkan pengguna kembali kepada cara hidup lama, kalau biasa makan lima biji (telur) beli kuantiti itu sahaja dan tak perlu beli secara berlebihan.

"Telur adalah barang cepat rosak, kalau beli hari ini tahan sampai 20 hari sahaja jadi takkan nak simpan lama-lama," katanya ketika membuat pemantauan bekalan telur di ST Rosyam Setiawangsa pada Selasa.

Katanya, KPDNHEP WPKL sentiasa memantau bekalan telur ayam melalui 55 kedai runcit terpilih yang dijadikan petunjuk keberadaan bekalan semasa di seluruh Parlimen Kuala Lumpur.

"Pada 27 November 2022, jumlah bekalan telur ayam yang dilaporkan adalah berjumlah 142,779 biji manakala pada 28 November 2022 pula sebanyak 128,864 biji pelbagai gred.

"Hasil pemantauan mendapati berlaku pengurangan bekalan yang diterima melalui pembekal dan trend pembelian tinggi oleh pengguna," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, kementerian juga telah melaksanakan Penentuan Harga Maksimum Ayam Dan Telur di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan berkuat kuasa 12 Oktober lalu.

"Harga kawalan borong dan runcit sebiji telur ayam bagi gred A (borong: 42 sen / runcit: 45 sen), B (borong: 40 sen/ runcit: 43 sen) dan C (borong: 38 sen/ runcit: 41 sen).

"Pegawai KPDNHEP WPKL akan sentiasa menjalankan pemantauan secara berkala di lokasi tumpuan seperti pasar awam, pasar tani, pasar raya serta kedai runcit bagi memastikan peniaga mematuhi harga yang ditetapkan," katanya.

Katanya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974 ) termasuk aktiviti menyorok, menyimpan atau unsur-unsur sabotaj terhadap bekalan telur ayam.

"Bagi peniaga yang cuba mengambil kesempatan menjual barang kawalan melebihi harga yang ditetapkan berdepan tindakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

"Kami mohon kerjasama pihak pasar raya dan peniaga dalam isu bekalan dan harga telur ayam ini. Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjejaskan kehidupan rakyat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!