'Jangan buat pembelian panik'

Azman (dua dari kiri) melayan tetamu pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri KPDN pada Rabu.
Azman (dua dari kiri) melayan tetamu pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri KPDN pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Pengguna di negeri ini dinasihatkan tidak melakukan pembelian panik berikutan bekalan gula dijangka pulih dalam tempoh sehari dua ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup negeri Kelantan, Azman Ismail berkata, pada Sabtu, KPDN Kelantan sudah menyemak semula bekalan sedia ada di premis pemborong.

Menurut beliau, agensi itu sudah mengedarkan lebih 250 tan metrik gula di seluruh negeri dan bekalan kini sudah tiba secara berperingkat.

"Sebanyak 100 tan metrik bekalan sudah mula bergerak pada Selasa serta Rabu dan kekurangan itu dijangka pulih dalam tempoh satu atau dua hari lagi," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri KPDN di sini pada Rabu.

Beliau memberitahu, bekalan ini akan terus dihantar kepada pemborong di setiap daerah manakala peruncit di pedalaman boleh terus mengambil bekalan di premis pemborong besar.

"KPDN sudah mengadakan Task Force bermula Rabu melalui Ops Manis di seluruh negeri bagi memastikan masalah kekurangan gula dapat dipulihkan.

"Kita telah menyiasat semua lapan pemborong besar di negeri ini dengan kuota paling tinggi sebanyak 1,000 tan metrik dan paling rendah 30 tan metrik," katanya.

Menurut beliau, pemborong besar besar berkenaan sebenarnya tidak menerima bekalan daripada kilang gula di Johor dan Pulau Pinang kerana penutupan pada Hari Raya Aidilfitri pertama dan kedua.

Bagaimanapun katanya, kini kilang sudah beroperasi semula pada 25 April dan bekalan sampai secara berperingkat.

"Sebanyak 111 premis melibatkan 77 pemborong, peruncit dan 14 pasar raya menerima bekalan hasil edaran daripada empat pemborong utama di negeri ini," katanya.

Selain itu katanya, KPDN menerima jumlah tujuh aduan berkaitan kekurangan atau tiada bekalan dan dua aduan mengenai peniaga enggan menjual.