Penduduk guna troli, ADUN rayu bina jalan

Troli yang digunakan penduduk Pangi dan Rayoh di Tenom untuk keluar ke Pekan Tenom jika perkhidmatan kereta api tidak beroperasi akibat rosak.
Troli yang digunakan penduduk Pangi dan Rayoh di Tenom untuk keluar ke Pekan Tenom jika perkhidmatan kereta api tidak beroperasi akibat rosak.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang mendedahkan penduduk di kawasan Pangi dan Rayoh, Tenom, terpaksa berdepan dengan bahaya menggunakan troli sebagai pengangkutan untuk keluar ke Pekan Tenom jika kereta api tidak beroperasi.

Ruben berkata, ia berikutan tiada jalan raya dibina bagi menghubungkan antara Tenom dan Beaufort sehingga penduduk terpaksa hanya bergantung dengan kereta api semata-mata sebagai penghubung untuk keluar berurusan di pekan berhampiran.

"Saya mohon kerajaan supaya bertindak menyelesaikan jalan perhubungan untuk rakyat di Pangi dan Rayoh yang sekian lama menderita atas masalah perhubungan ini.

"Mereka terpaksa menggunakan troli sendiri kerana kadang-kadang kereta api tidak beroperasi kerana rosak," katanya ketika menyampaikan ucapan perbahasan Bajet Sabah 2023 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Selasa.

Bagi menyelesaikan isu jalan perhubungan itu, beliau meminta supaya pembinaan jalan raya Tenom dan Beaufort dikaji semula untuk dilaksanakan.

"Selesaikan cepat sama ada bina jalan raya Tenom-Beaufort seperti yang dilancarkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 dan 25 April 2001 agar dikaji semula untuk dilaksanakan.

"Itulah satu-satunya cara penyelesaian masalag-masalah kampung bagi laluan dari Tenom ke Beaufort," katanya.

Rubin dalam pada itu turut meminta pihak kerajaan negeri memastikan bekalan elektrik di kawasan beliau stabil demi keselesaan rakyat di kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Bekalan elektrik di Kemabong seringkali terputus dan ini agak mengecewakan banyak pihak. Hampir tiga kali sehari ada kalanya sepanjang malam dan kadang-kadang berterusan sehingga enam jam elektrik terputus.

"Saya mohon kerajaan negeri ambil perhatian bagaimana menangani masalah ini kerana ia sentiasa berlaku terutama pada waktu ada kecemasan, ada kematian berlaku tiba-tiba bekalan elektrik terputus," katanya.