Korea Selatan tersentak tewas kepada Ghana

Pemain Ghana meraikan kemenangan menewaskan Korea Selatan 3-2 pada aksi Kumpulan H Piala Dunia Qatar 2022 pada Isnin. - Foto EPA
Pemain Ghana meraikan kemenangan menewaskan Korea Selatan 3-2 pada aksi Kumpulan H Piala Dunia Qatar 2022 pada Isnin. - Foto EPA
A
A
A

HASRAT Korea Selatan untuk mencatat kemenangan pertama tidak kesampaian apabila dikejutkan Ghana 2-3 dalam aksi Kumpulan H, Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Education City lewat malam Isnin.

Menerusi jurang ranking yang besar iaitu Korea Selatan menghuni tangga ke-28 dunia, manakala Ghana di kedudukan ke-62, maka tidak hairan skuad Kimchi itu memberi tekanan sejak awal permainan.

Ghana dipaksa berkampung di gawang sendiri, namun ketumpulan jentera serangan Korea Selatan dihukum oleh skuad dari negara Afrika itu.

Berpunca daripada sepakan percuma Jordan Ayew mencetuskan perebutan di kawasan kotak penalti sebelum disudahkan dengan baik oleh Mohammed Salisu pada minit ke-24.

Gol itu menyuntik semangat skuad bimbingan Otto Addo untuk menggandakan asakan dan ia membuahkan hasil.

Ayew sekali lagi menjadi watak penting apabila bola hantarannya di depan gawang Korea Selatan ditanduk sempurna Mohammed Kudus pada minit ke-34 untuk menewaskan Kim Seung-gyu.

Bersambung babak kedua, Korea Selatan bertindak agresif mengasak kubu Ghana untuk merapatkan jurang jaringan.

Serangan bertali arus skuad gergasi Asia itu akhirnya menemui penyudah apabila tendangan Cho Gue-song menemui sasaran pada minit ke-58.

Artikel Berkaitan:

Selang tiga minit Gue-song sekali lagi menyinar apabila meledak untuk gol penyamaan Korea Selatan.

Belum pun sempat Korea Selatan meraikan gol, Ghana kembali di depan menerusi Kudus pada minit ke-68.

Terdesak untuk memburu gol penyamaan Korea Selatan menyusun semula gerak, namun dihampakan kekebalan benteng Ghana bertahan dan keputusan 3-2 kekal sehingga wisel penamat.