Polis tahan lelaki disyaki pecah masuk restoran milik pelakon

Polis menahan seorang lelaki disyaki mencuri peralatan besi di restoran milik seorang pelakon di Bandar Meru Raya.
Polis menahan seorang lelaki disyaki mencuri peralatan besi di restoran milik seorang pelakon di Bandar Meru Raya.
A
A
A

IPOH - Polis pada Isnin menahan seorang lelaki yang disyaki memecah masuk dan mencuri peralatan besi di restoran milik seorang pelakon di Bandar Meru Raya di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan di sebuah kedai di Klebang Putra, Chemor pada 3.20 petang.

"Dia ditahan bersama kereta jenis Proton Persona yang digunakan semasa melakukan pecah kedai dan curi dalam kes itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, polis menerima laporan daripada pelakon lelaki berusia 52 tahun itu pada 5.15 petang Ahad di Balai Polis Jelapang mengenai insiden tersebut.

Yahaya berkata, ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis metamfetamina dan polis sedang menyiasat sama ada dia terlibat dalam kes lain.

"Kes ini berjaya diselesaikan dan suspek akan direman di Mahkamah Majistret Ipoh esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu, tular video pelakon Zul Yahya menunjukkan rakaman kamera litar tertutup di restoran miliknya yang memaparkan seorang lelaki memasuki premis itu ketika operasi ditutup dan membawa keluar pelbagai peralatan besi. - Bernama

Artikel Berkaitan: