Gabungan BN, PH lakar sejarah landskap politik Pahang

Young Syefura dan barisan ADUN PH bersama Wan Rosdy (lima dari kanan) serta Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Ishak Muhamad selepas Majlis Pengurniaan Surat Cara Perlantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang di Istana Abu Bakar, Pekan pada Isnin.
Young Syefura dan barisan ADUN PH bersama Wan Rosdy (lima dari kanan) serta Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Ishak Muhamad selepas Majlis Pengurniaan Surat Cara Perlantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang di Istana Abu Bakar, Pekan pada Isnin.
A
A
A

BENTONG - Pembentukan kerajaan Pahang melalui gabungan antara BN dan Pakatan Harapan (PH) merupakan satu sejarah kepada landskap politik di negeri ini.

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, perkembangan itu sesuatu yang menarik apabila Pahang yang sekian lama diterajui BN kini terbentuk melalui gabungan bersama PH yang dahulunya berada di blok pembangkang.

Menurutnya, dinamik itu pertama kali terjadi di dalam sejarah landskap negeri dan kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15) apabila tiada gagasan politik yang mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

"Ini bukti sistem demokrasi negara telah meneroka satu cabang baharu dan telah berlaku di negeri Pahang ini.

"Kedua-dua pihak dengan jiwa yang besar telah mengenepikan perbezaan untuk berunding sehingga berjaya membentuk kerajaan atas perkenan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah demi kesejahteraan dan kemakmuran seluruh rakyat negeri ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Young Sefura menyambut baik gagasan baharu itu dan berharap ia dapat membawa satu nafas baharu yang segar dalam pentadbiran kerajaan negeri.

"BN sudah berpengalaman menjadi kerajaan negeri dan kali ini disertai PH sebagai gabungan, justeru setiap pandangan yang berbeza selama ini diharap dapat melengkapi setiap kelompongan yang wujud antara satu sama lain," ujarnya.

Pada Isnin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang pada Majlis Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang berlangsung di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan.

Artikel Berkaitan: