Ambil kira 3 perkara utama bentuk kerajaan BN-PH di Pahang

Wan Rosdy pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Majlis Daerah dan Tanah Pekan, pada Isnin.
Wan Rosdy pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Majlis Daerah dan Tanah Pekan, pada Isnin.
A
A
A

PEKAN - Pembentukan kerajaan Pahang melalui gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) adalah sebuah kerajaan yang mewakili dan akan berkhidmat untuk semua rakyat negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, segala sentimen politik dan perbezaan ideologi akan diketepikan, sebaliknya keutamaan ketika ini adalah kestabilan dan kemakmuran Pahang.

Menurutnya, pasukan kerajaan negeri baharu dibentuk akan memastikan Belanjawan 2023 yang telah diluluskan di Dewan Negeri Pahang pada penggal lalu dapat dilaksanakan dengan cemerlang.

"Buat masa ini, fokus utama kerajaan negeri memacu pertumbuhan ekonomi negeri ke arah yang lebih baik dan positif.

"Sehubungan itu, barisan Exco Kerajaan Negeri baharu akan dibentuk melibatkan kedua-dua blok BN dan PH dalam masa terdekat selepas rundingan berhubung perkara ini diselesaikan," katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Majlis Daerah dan Tanah Pekan di sini, pada Isnin.

Beliau sebelum itu hadir menyempurnakan istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Pahang di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah di Istana Abu Bakar, di sini.

Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai berkata, kerjasama antara blok merupakan pendekatan baharu yang mesti menjadi pilihan sekali gus membuktikan keterbukaan BN Pahang untuk bekerjasama dengan mana-mana blok sama ada PH atau pun PN, demi kebaikan rakyat.

Asas itu antara tiga perkara utama yang menjadi pertimbangan BN Pahang dalam membentuk kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Artikel Berkaitan:

"Pembentukan kerajaan negeri Pahang tertangguh seketika ekoran keputusan PRU15 lalu yang menyaksikan tiada mana-mana parti berjaya memperoleh majoriti mudah melebihi 22 kerusi daripada keseluruhan 42 kerusi Dewan Negeri (DUN) Pahang.

"Justeru, BN Pahang mendapati sebarang pilihan kerjasama mestilah dilakukan dengan mengambil kira keupayaan gabungan untuk membawa kestabilan kepada kerajaan negeri dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Tambah beliau, pada masa sama, kombinasi kerajaan negeri haruslah mencerminkan kemajmukan dan kepelbagaian yang menjadi kekuatan negeri Pahang.

"Selain itu, BN Pahang juga percaya pembentukan kerajaan negeri yang baharu perlu turut selari dengan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk di peringkat Persekutuan.

"Langkah itu bagi memastikan pentadbiran serta segala perancangan yang dibuat demi pembangunan Pahang dapat diteruskan dan berjalan dengan lancar," jelasnya.

Wan Rosdy berkata, berdasarkan pertimbangan dan senario yang telah diperhalusi dengan penuh berlapang dada ini, akhirnya BN dan PH telah mencapai kata sepakat untuk membentuk kerajaan negeri.

"Saya juga berharap bahawa blok Perikatan Nasional akan menjadi pembangkang yang sentiasa tegas, objektif dan mampu menjalankan fungsi semak dan imbang yang selayaknya," katanya.