Ada usaha tarik empat ADUN BN

Saarani
Saarani
A
A
A

LENGGONG - Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mendedahkan terdapat cubaan pihak tertentu mendapatkan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN pada awal pembentukan kerajaan negeri, minggu lalu.

Menurutnya, cubaan itu dimaklumkan sendiri oleh wakil rakyat dan individu yang menjadi 'ejen' untuk menarik sekurang-kurangnya empat ADUN itu.

"Saya dimaklumkan bahawa sudah ada 'ejen' yang menghubungi ADUN BN supaya tinggalkan parti dan menyertai mereka seperti mana yang berlaku pada PRU14.

"Itu bukan cara baik cuba bawa empat orang lari menyertai mereka dan menubuhkan kerajaan serta meninggalkan lima ADUN BN menjadi pembangkang.

"Saya terus buat keputusan menghubungi pihak istana malah, saya mendapat persetujuan daripada lapan ADUN BN, maka saya menghadap Sultan Perak, sembilan daripada BN dan 24 daripada Pakatan Harapan (PH) kita cukup kerusi bentuk kerajaan negeri," katanya ketika berucap pada Majlis Penerangan Khas Menteri Besar Perak di Kompleks Komuniti Desa Kemas di sini pada Ahad.

Saarani bagaimanapun enggan mendedahkan keempat-empat ADUN berkenaan.

"Saya tidak boleh dedahkan itu kerana menjaga keselamatan mereka. Mereka hanya diminta tinggalkan (parti)

"Saya tidak tahu apakah tawaran cuma diminta menyertai gabungan parti itu. Mereka ada 26 kerusi hendak ambil empat daripada BN," katanya.

Artikel Berkaitan:

Saarani menjelaskan bahawa pemilihan untuk membentuk kerajaan bersama PH bukanlah suatu pengkhianatan sebaliknya demi kestabilan politik dan negeri dapat ditadbir dengan baik.

"Tidak timbul masalah mengkhianati parti atau masalah meninggalkan perjuangan, tidak timbul masalah hilang prinsip.

"Orang UMNO tidak perlu rasa bersalah kerana yakin ALLAH beri ada hikmahnya. Saya reda orang mengata tetapi saya yakin saya buat keputusan betul demi ALLAH baik untuk agama dan bangsa," katanya.

Menteri Besar Perak itu turut memberi jaminan bahawa pihaknya tidak akan mengikut telunjuk mana-mana pihak.

"Saya berjanji sekiranya ada pihak terus mengasak dan meminta saya ikut telunjuk mereka, saya tidak teragak-agak menarik keluar sembilan orang dari kerajaan negeri, kita tidak perlu akur," katanya.

Saarani (kanan) bersalaman dengan orang ramai yang hadir pada Majlis Penerangan Khas Menteri Besar Perak di Lenggong.
Saarani (kanan) bersalaman dengan orang ramai yang hadir pada Majlis Penerangan Khas Menteri Besar Perak di Lenggong.

Pada PRU14 yang lalu, Pakatan Harapan (PH) memperoleh 29 kerusi DUN diikuti BN sebanyak 27 kerusi dan Pas menang tiga kerusi.

Bagaimana pun tindakan oleh dua ADUN dari BN iaitu Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi yang mengumumkan sokongan terhadap PH membolehkan parti berkenaan membentuk kerajaan.