19 pengawal keselamatan warga asing tiada permit ditahan

Nik Yusaimi (dua dari kanan) ketika sidang akhbar di Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) Terengganu di Kuala Terengganu baru-baru ini.
Nik Yusaimi (dua dari kanan) ketika sidang akhbar di Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) Terengganu di Kuala Terengganu baru-baru ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 19 pengawal keselamatan warga asing ditahan dalam Ops Cota di sekitar Lembah Klang selepas didapati menggunakan permit kerja tidak sah.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan Dan Kawalan (PKK) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Nik Yusaimi Yussof berkata, antara yang ditahan melibatkan enam pengawal keselamatan warganegara Nepal, 11 pengawal keselamatan dari Pakistan dan dua warganegara India.

"Kesemua warga asing itu ditahan dalam operasi bersepadu melibatkan Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Ibu Pejabat Kementerian Dalam Negeri Putrajaya bersama Jabatan Imigresen pada 8 November lalu.

"Kesemua individu terbabit ditahan dan disiasat di bawah Peraturan 39 (b), Seksyen 15 (1) (c) dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/1963," katanya pada sidang akhbar di sini, baru-baru ini.

Menurut Nik Yusaimi, trend menggaji pengawal keselamatan warga asing tanpa permit sah semakin berleluasa dan perlu dibendung.

Beliau memberitahu, kesalahan itu dikesan menerusi penguatkuasaan Ops Cota di seluruh negara yang dijalankan bermula 1 Oktober lalu.

"Antara alasan diberikan pihak yang menggaji pekerja asing tanpa permit sah ialah tidak perlu membayar gaji mahal, mudah diurus serta enggan terikat dengan syarikat yang dilesenkan mengikut peruntukan Akta Agensi Persendirian 1971.

"Bagaimanapun, kesalahan itu perlu dibendung bagi memastikan semua syarikat dan pemain industri kawalan keselamatan mematuhi akta dan surat arahan pekeliling dikeluarkan," katanya

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nik Yusaimi berkata, Ops Cota secara bersepadu di Terengganu dijalankan melibatkan Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu serta Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO).

Beliau berkata, operasi itu dijalankan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Kuala Terengganu pada Selasa lalu.

"Seramai 107 pengawal keselamatan diperiksa di HSNZ manakala 14 pengawal keselamatan di UTC Kuala Terengganu.

"Daripada jumlah itu, hanya enam pengawal keselamatan dikesan melakukan kesalahan melibatkan etika pemakaian," jelasnya.

Dalam pada itu, Nik Yusaimi meminta pemain industri keselamatan dan syarikat persendirian supaya bekerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan perkhidmatan kawalan keselamatan yang tidak mematuhi Akta Agensi Persendirian 1971.

Tambahnya, semua pemain industri yang terdiri daripada syarikat kawalan keselamatan diminta mematuhi segala peraturan dan akta yang ditetapkan kerajaan.

"Mana-mana syarikat yang ingin menyediakan perkhidmatan kawalan keselamatan perlu memohon lesen terlebih dahulu bagi mengelak pelanggaran akta.

"Orang ramai juga dinasihati melantik perkhidmatan kawalan keselamatan dari syarikat kawalan keselamatan yang mempunyai lesen dari KDN," ujar beliau.